DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk mempertimbangkan cadangan pembangunan sistem terowong utiliti yang digunakan di Putrajaya, iaitu Common Utility Tunnel (CUT), untuk Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, terowong ini menyediakan perlindungan kepada infrastruktur utiliti seperti kabel elektrik, paip air, dan telekomunikasi daripada kerosakan semasa pembinaan, serta membolehkan akses selamat untuk penyelenggaraan.
“Sistem ini juga boleh diintegrasikan dengan pusat kawalan bandar menggunakan teknologi telemetri bagi pemantauan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjwab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) pada sesi jawapan lisan menteri di parlimen hari ini.
Beliau berkata dengan mengguna pakai teknologi ini, DBKL sudah pasti dapat meningkatkan kecekapan dan keselamatan dalam penyelenggaraan utiliti bawah tanah, secara terancang dan menyeluruh, seiring dengan visi CHASE City untuk bandar yang selamat, sihat, dan lestari.
Menurut Zaliha, beliau juga telah mencadangkan kepada Datuk Bandar supaya DBKL mencontohi amalan terbaik PBT di negara maju yang memainkan peranan lebih besar dalam utility mapping atau pemetaan utiliti bawah tanah
“Sebagai contoh, di negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Australia, PBT bertanggungjawab dalam: koordinasi dan penyelarasan antara pelbagai syarikat utiliti untuk memastikan kerja-kerja yang melibatkan utiliti bawah tanah dilakukan secara tersusun dan tidak mengganggu perkhidmatan
atau infrastruktur lain.
“Penyimpanan dan pengurusan peta utiliti bawah tanah (utility mapping) melalui penggunaan konsep digitasi secara data berpusat supaya peta yang diterima secara piecemeal sebelum ini dapat digabungkan menjadi suatu peta yang lengkap. Peta ini nanti akan berfungsi untuk mengelakkan kerosakan tidak sengaja semasa kerja-kerja penggalian dijalankan oleh syarikat utiliti atau kontraktor.
“Pelaksanaan peraturan dan garis panduan keselamatan yang memastikan kerja penyelenggaraan dijalankan dengan cekap, selamat, dan meminimumkan gangguan kepada orang awam,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha berkata DBKL hanya terlibat secara tidak langsung dalam mengawal selia kerja-kerja yang melibatkan utiliti bawah tanah, terutamanya dari aspek pengeluaran permit korekan, pemantauan keselamatan, dan memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Tanggungjawab bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan utiliti bawah tanah seperti pembetungan, bekalan air, elektrik, dan telekomunikasi di Kuala Lumpur terletak pada syarikat-syarikat yang memiliki aset tersebut.
Katanya, buat masa ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mengeluarkan permit korekan di bawah undang-undang yang diperuntukkan melalui Akta 133 (Akta Jalan Parit dan Bangunan) dan Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan) yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal selia kerja-kerja yang melibatkan jalan raya dan utiliti bawah tanah.
“Walau bagaimanapun, dari semasa ke semasa, penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memperkasakan peranan DBKL,” katanya. – WILAYAHKU