MAJLIS Sukan Negara (MSN) perlu mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum dapat memutuskan kaedah terbaik penggunaan peruntukan RM15 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 Jumaat lepas.
Menurut Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub, perbincangan itu penting untuk memastikan dana berkenaan dimanfaatkan secara optimum bagi pembangunan bola sepak negara.
“Sebenarnya perjumpaan dengan FAM telah berlangsung tetapi perbincangan ini perlu dilakukan beberapa kali lagi. Bukanlah boleh jumpa selesai terus, ia satu proses yang kita perlu bincang sampai dapat muktamadkan jalan terbaik,” ujar beliau.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini memaklumkan peruntukan RM15 juta kepada Pasukan Harimau Malaya, Pasukan Bawah 18 dan bawah 13 tidak boleh dibelanjakan sesuka hati atau untuk pembayaran gaji.
Hannah berkata Kementerian Kewangan dan Kementerian Belia dan Sukan akan memantau penggunaan peruntukan kepada FAM bagi memastikan dana itu hanya digunakan untuk peningkatan prestasi oleh barisan kejurulatihan. – WILAYAHKU