AHLI Parlimen yang telah diarahkan keluar atau digantung tidak boleh berada di dalam dewan termasuk galeri awam sepanjang persidangan berlangsung, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata peraturan itu dikuatkuasakan bermula 15 Oktober lalu dan Ahli Parlimen terbabit hanya boleh mengikuti dari luar Dewan Rakyat.
“Mana-mana ahli yang diarahkan keluar, atau diperintah ikut peraturan mesyuarat ini, maksud keluar dari ‘chamber’ (bilik Dewan) ini.
“Dia boleh ikuti dari luar tetapi tidak boleh masuk dalam chamber, kerana ini akan menimbulkan banyak masalah,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian susulan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung enam bulan dibenarkan duduk di galeri awam Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Johari dalam suratnya memberitahu Wan Fayhsal tidak dibenarkan berada di galeri awam atau bilik pegawai kerajaan bertugas di Dewan Rakyat.
Beliau berkata ini kerana Ketua Pemuda BERSATU itu masih menjalani penggantungan mengikut Peraturan Mesyuarat 44(5).
Sebagai rekod, Wan Ahmad Fayhsal yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). – WILAYAHKU