PERUNTUKAN RM200 juta untuk membaiki lif rosak di perumahan kos rendah dan sederhana awam di Wilayah Persekutuan terutamanya Kuala Lumpur amatlah disambut baik, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata peruntukan itu sebelum ini tidak dapat digunakan untuk Wilayah Persekutuan yang sangat memerlukan untuk membaiki lif yang rosak.
“Saya rasa kita tertinggal sebelum ini di Wilayah Persekutuan, lebih lagi ibu kota. Peruntukan sebanyak RM200 juta kepada rumah kos rendah dulu tidak termasuk Wilayah Persekutuan tetapi diberikan kepada negeri-negeri lain.
“Tetapi kali ini peruntukan tersebut untuk seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan yang merupakan paling kronik dan kritikal bagi membaiki lif rosak di perumahan kos rendah,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk membaiki lif yang rosak di perumahan awam kos rendah.
Kerajaan MADANI meletakkan keutamaan memastikan kesejahteraan perumahan mampu milik untuk rakyat serta dalam masa sama terus menggembleng usaha memastikan persekitaran Program Perumahan Rakyat (PPR) dan komuniti perumahan menjadi lebih manusiawi.
Belanjawan 2025 meluluskan 14 inisiatif kewangan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk RM200 juta untuk penyelenggaraan perumahan awam kos rendah.
Dalam pada itu, Azman berkata peruntukan itu dilihat merupakan satu keperluan utama bagi menyelesaikan masalah dihadapi di Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata banyak lif-lif perumahan kos rendah tidak dapat diselenggara sebelum ini kerana tiada peruntukan mencukupi.
“Sebelum ini peruntukan RM100 juta bagi Wilayah Persekutuan tidak boleh digunakan. Negeri lain boleh guna peruntukan itu sebelum ini. Kali ini semua negeri boleh menggunakan peruntukan RM200 juta yang diberikan kerajaan,” katanya.
Azman mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya dalam menyelesaikan masalah dihadapi itu.
“Terima kasih kepada perdana menteri atas keprihatinan beliau,” katanya. – WILAYAHKU