Berita

KPDN umum lapan jenis barangan SHMMP menjelang Deepavali

- Diterbit 24 Oktober 2024 4:06 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 selama tujuh hari bermula 28 Oktober hingga 3 November depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu pelaksanaan SHMMP melibatkan lapan jenis barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import.

Antara barangan lain terlibat tomato, cili merah, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India) termasuk Ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

“Tempoh pelaksanaan adalah tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

“Begitu juga kita mengambil kira faktor penawaran dan permintaan, implikasi kos ditanggung oleh para peniaga kerana kita melindungi mengimbangkan kedua aspek kepentingan pengguna dan dari segi peniagaan para pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semasa mengumumkan pelaksanaan SHMMP di NU Sentral.

Menurut Armizan, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.

Beliau berkata pihaknya berharap semua pihak mematuhi harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas