KESIAPSIAGAAN mendepani masalah banjir khususnya banjir kilat di ibu negara diberi keutamaan sepanjang masa, lebih-lebih lagi Malaysia bakal menyandang Kepengerusian ASEAN pada tahun depan serta Tahun Malaysia Malaysia (TMM) 2026.
Komitmen itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat hari ini.
Malah menurut beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memikul tanggungjawab terhadap pengindahan dan kesejahteraan Kuala Lumpur dalam penganjuran Kepengerusian ASEAN 2025 dan TMM 2026.
Katanya, tindakan kesiapsiagaan itu perlu kepada tindakan bersepadu yang menjadi tanggungjawab bukan hanya DBKL bahkan melibatkan agensi lain termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi penguat kuasa.
“Sebagai tindakan jangka pendek, DBKL telah menyelaras tindakan pembersihan sistem saliran seperti longkang dan juga outlet di kawasan terjejas banjir.
“Ini adalah bagi memastikan kapasiti sistem saliran berada dalam keadaan yang paling optimum,” katanya.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang mahu kementerian menyatakan tahap kesediaan Kuala Lumpur yang merupakan pintu masuk utama negara, bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan TMM 2026 memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan.
Zaliha menambah, DBKL kini meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah (Onsite Stormwater Detention – OSD), penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan dari semasa ke semasa dan berkala terutama apabila ketibaan musim monsun timur laut atau musim tengkujuh.
Katanya, kerja-kerja ini diselaraskan dengan kerjasama pihak JPS.
“Dalam usaha jangka sederhana menghadapi insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan juga sembilan kolam tertutup bawah tanah.
“Semua kolam-kolam takungan banjir telah dilakukan pengorekan kelodak (desiltation) mengikut keperluan semasa dan jadual berkala. Longkang-longkang tepi jalan turut dinaik taraf bukaan sesalurnya bagi mengurangkan implikasi banjir kilat,” katanya.
Beliau memberitahu, untuk tindakan jangka panjang, pada 2022 dan 2023, sebanyak tujuh projek mitigasi banjir telah siap manakala pada tahun ini, terdapat 14 projek, seterusnya bagi tempoh 2025 hingga 2027, empat lagi projek dirancang.
Katanya, pembangunan Kuala Lumpur telah mengintegrasikan elemen climate-change adaptation dan konsep sponge-city.
Jelas beliau, setiap kelulusan pembangunan adalah terancang dan perlu mematuhi reka bentuk mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) Edisi Ke-2 serta kawalan hakisan dan kelodak (ESCP-Erosion and Sediment Control Plan) untuk mengawal aliran air semasa kerja tanah, bagi memastikan kesan banjir diminimumkan.
“Langkah ini termasuk penerapan Reka Bentuk Bandar Sensitif Air seperti bio-swale, taman hujan dan tanah lembap. Semua pemaju kini juga diwajibkan untuk melaksanakan MSMA Edisi Ke-2 serta sistem saliran mampan seperti BIOECODS dalam setiap projek pembangunan mereka.
“Kita juga boleh belajar dari negara-negara lain seperti China dan Jepun. Di Jepun sebagai contoh telah diperkenalkan Kandagawa Storm Water Reservoir di Tokyo. Kaedah intervensi yang kompleks dan berteknologi tinggi ini mampu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur,” katanya.
Walau bagaimanapun jelasnya, kos yang besar menjadi cabaran kepada kerajaan dalam usaha negara menuju belanjawan surplus. – WILAYAHKU