Berita

Lapan ajaran dipantau secara komprehensif, 12 dalam risikan

- Diterbit 23 Oktober 2024 4:39 PM MYT

LAPAN ajaran kini sedang dipantau secara komprehensif oleh agensi berkaitan khususnya pihak berkuasa agama jika didapati ada elemen-elemen sesat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia merupakan tindakan susulan selepas pelaksanaan Op Global.

Selain itu katanya, pihak berkuasa juga sedang membuat risikan dan siasatan terhadap 12 lagi ajaran.

“Kita sedang pantau secara dekat. Ada lapan ajaran di seluruh Malaysia, yang ini kita pantau secara komprehensif, selain itu ada 12 ajaran lagi yang kita membuat risikan dan siasatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mahu tahu apakah hasil penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa agama negeri dalam usaha membanteras ajaran sesat susulan daripada Op Global.

Menurutnya, kerajaan turut mengaktifkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Terdahulu beliau ketika menjawab soalan asal Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai tarekat Aurad Muhamadiyah yang difatwakan sesat pada 1994 berkata, berdasarkan pemerhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tarekat tersebut masih diamalkan oleh pengikut kerana beberapa faktor, antaranya pengamalan tarekat secara tersembunyi serta sukar dikesan.

Malah katanya, ini diikuti pengaruh pemimpin Al-Arqam iaitu Ashaari Muhammad yang masih kuat dalam kalangan pengikut walaupun selepas fatwa dikeluarkan.

Menurutnya, JAKIM akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh akidah dan pegangan umat Islam termasuk ahli-ahli GISBH melalui pembudayaan ilmu, pentarbiyahan dan juga program-program pengukuhan akidah yang komprehensif dan berkesan.

“Langkah drastik kerajaan untuk menghapuskan tarekat ini ialah menerusi operasi secara bersepadu bersama agensi-agensi Persekutuan dan agensi-agensi negeri termasuk polis dalam siri Op Global dengan melibatkan perundangan yang berbeza,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas