Berita

Senaman pound cipta sejarah dalam MBOR

ADAM ADLI (dua dari kanan) merasmikan Program Pound Fitness sempena Hari Sukan Negara 2024
- Diterbit 23 Oktober 2024 1:21 PM MYT

SEBANYAK 1,270 peserta wanita berkumpul di Dataran Putrajaya baru-baru ini bagi mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dalam acara sukan aktif senaman pound fitness.

Lebih menarik, senaman menggunakan kayu deram dengan gerakan seluruh badan itu memerlukan kekuatan fizikal peserta bergerak mengikut rentak muzik.

Catatan rekod tersebut dibuat bersempena Hari Sukan Negara (HSN) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan; produk penjagaan rambut Safi Shayla; Mediarands Content Studios (MCS) dan POUNDwithHanis.

Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan wanita terutama mereka yang berhijab.

Jurulatih, Hanis Nor berkata program seumpama itu berjaya membangkitkan semangat kesukanan dalam kalangan para peserta di negara ini.

“Dalam masa sama, ia membuktikan kaum wanita boleh mengatasi sebarang cabaran dan menyerlah dengan penuh keyakinan walaupun berhijab.

“Sebagai jurulatih yang berhijab, saya memahami cabaran untuk kekal aktif di Malaysia yang bercuaca panas dan lembap dengan memakai hijab.

“Justeru, kita mahu terus menggalakkan golongan seperti ini kekal cergas walau di mana jua,” katanya dalam satu kenyataan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas