Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
MENDIDIK kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun bukanlah perkara yang mudah apalagi mahu memastikan golongan cilik ini mampu membaca dan menghafaz ayat Al-Quran.
Guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Hamima Husin berkata ia merupakan satu cabaran besar buat para guru yang terpilih mengikuti Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS.
“Sejajar dengan pengumuman baru-baru ini, saya bersama lebih 4,000 guru yang terpilih telah pun menghadiri kursus pertama selama tiga hari dan didedahkan dengan kaedah hafazan Al-Quran.
“Antaranya dengan menggunakan kaedah role play atau penceritaan. Setiap surah ada tafsirannya jadi sebagai guru kita akan ceritakan semula kisah di sebalik setiap surah bagi menarik minat murid-murid untuk mendengar seterusnya menghafaz surah tersebut,” katanya.
Hamima yang bertugas di TABIKA KEMAS Bunga Alamanda, Presint 11, Putrajaya berkata program di tempatnya mengajar mula dilaksanakan pada penghujung Ogos lalu.
“Sehingga Oktober, kanak-kanak terpilih ini telah berjaya menghafaz sebanyak lima surah dan kita dalam proses untuk ke surah seterusnya. Dengan bantuan dan sokongan ibu bapa menjadikan program ini lebih mudah dilaksanakan kerana selain di sekolah, di rumah juga mereka masih meneruskan bacaan.
“Kita peruntukkan dua kali seminggu dan setiap sesi adalah selama satu jam. Selain itu, kita juga dibantu oleh seorang ustaz bagi memperbaiki bacaan anak-anak.
“Keseluruhan surah yang perlu dihafaz menerusi program ini adalah sebanyak 30 surah namun kita akan lihat kepada kemampuan pelajar itu sendiri sekiranya mereka dapat habiskan dalam tahun ini juga ia adalah satu perkara yang sangat baik.
“Kalau kita tengok para huffaz di luar sana, untuk kelancaran menghafaz, banyak perkara yang perlu dititikberatkan terutama dari segi pemakanan namun di sini kita tak dapat pantau sepenuhnya kerana mereka masih tinggal bersama ibu bapa namun kami melakukan sebaik mungkin agar objektif program tercapai,” jelasnya program tersebut merupakan kerja-sama bersama Yayasan Pahang.
Berpengalaman 15 tahun dalam bidang pendidikan, Hamima percaya program tersebut mampu melahirkan lebih ramai para huffaz pada masa akan datang.
“Di sini kita praktikkan kaedah pembelajaran digital bagi menarik minat anak-anak menghafaz.
Ada kala kita akan buka bacaan surah anak-anak dari Indonesia, Arab atau mana-mana yang sedap untuk didengari, jadi anak-anak ini akan rasa seronok untuk ikut baca sekali. Kita juga akan kongsi di dalam kumpulan WhatsApp bersama ibu bapa untuk pembacaan di rumah.
“Selain itu, kaedah kad atau puzzle turut digunakan. Selain perlu mencantum surah, mereka juga akan mudah untuk mengingati surah yang dibaca,” katanya. – WILAYAHKU