Berita

Didakwa lepaskan muatan rokok libatkan kerabat diraja, Kastam buat laporan polis

- Diterbit 22 Oktober 2024 10:24 AM MYT

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (Kastam) membuat laporan polis susulan isu tular mengenai sebuah
kontena yang dikatakan membawa muatan dagangan rokok telah dilepaskan atas arahan Ketua Pengarah Kastam yang melibatkan kerabat diraja.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya menafikan berhubung tohmahan yang telah dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, laporan polis dibuat bagi menjaga nama baik dan imej Kastam serta memelihara kedaulatan institusi diraja.

“Berdasarkan rekod, dagangan yang dibawa telah melalui proses kerja dan prosedur yang ditetapkan oleh Kastam.

“Kontena tersebut merupakan kontena berukuran 40 kaki berstatus full container load (FCL) dan Borang Kastam 1(BK 1), pengimport telah mengikrarkan dagangan sebagai 1,071 unit bagasi.

“Rekod imej mesin pengimbas dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap kontena tersebut telah mengesahkan bahawa maklumat barang dagangan di dalam manifest dan Borang K1 adalah sama seperti yang diikrarkan iaitu beg bagasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Anis Rizana memberitahu, oleh yang demikian Kastam berpuas hati bahawa pengikraran yang dilakukan adalah mematuhi kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967.

Katanya, pengimport juga telah membayar Cukai Jualan Import dan dagangan dilepaskan daripada kawalan Kastam.

“Kita juga menafikan bahawa pegawai-pegawai telah menerima arahan dari Ketua Pengarah untuk tidak mengenakan duti atau cukai atau melepaskan dagangan yang diimport tanpa dikenakan cukai.

“Ketua Pengarah juga tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengecualikan atau melepaskan mana-mana orang daripada membayar keseluruhan atau sebahagian duti atau cukai yang terlibat,” tegasnya.

Beliau menambah, pihaknya ingin menegaskan bahawa kuasa untuk mengecualikan atau melepaskan mana-mana orang daripada membayar duti atau cukai di bawah mana-mana akta tadbiran Kastam adalah kuasa Menteri Kewangan.

Katanya, pegawai Kastam komited dan jelas mengenai kuasa yang ada di bawah undang-undang bertulis tadbiran Kastam dan sentiasa mengamalkan sikap cekap, tangkas berintegriti dalam menjalankan tugas.

Justeru jelasnya, setiap pengikraran yang dibuat oleh pengimport hendaklah mematuhi kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967.

“Kita menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu daripada sumber rasmi Kastam mengenai apa-apa maklumat yang diterima,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas