Berita

Dakwaan kos rawatan hemodialisis di hospital kerajaan naik adalah tidak benar

- Diterbit 21 Oktober 2024 11:33 AM MYT

KERAJAAN Perpaduan tidak pernah menaikkan kos rawatan hemodialisis dan tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi buat masa ini.

Demikian ditegaskan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menjawab mesej berantai yang tular dan mendakwa Malaysia kini menuju ke arah ‘khidmat kesihatan berbayar’.

Malah tegas beliau, kerajaan telah berulang kali menegaskan iltizam untuk mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan.

“Perkhidmatan asas di fasiliti Kementerian Kesihatan kekal pada kadar RM1, perkhidmatan pakar (RM5) dan perkhidmatan hemodialisis pada RM13 satu sesi.

“Untuk perkhidmatan tiga kali seminggu, biasanya kos rawatan hemodialisis ialah RM169 sebulan. Bayaran yang sama sejak 2016,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau memberitahu, penularan mesej yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab harus dihentikan, bermula dengan menyebarkan maklumat yang sahih daripada sumber yang berwibawa.

Terdahulu tular hantaran mendakwa rawatan hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma sedangkan ia sebenarnya fi yang sama sejak 2016. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas