Berita

Kerajaan setuju naikkan gaji minimum RM1,700 mula 1 Feb 2025

Gambar hiasan
- Diterbit 18 Oktober 2024 5:40 PM MYT

KERAJAAN Madani bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025 kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gajiminimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” katanya dalam ucapan Belanjawan 2025 di parlimen hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

“Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985),” katanya.

Menurut Perdana Menteri, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja.

“Dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan. Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50 ribu pekerja,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas