Berita

Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas

- Diterbit 18 Oktober 2024 4:56 PM MYT

CUKAI jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Cukai Jualan akan dikenakan ke atas
barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avocado.

Menurut beliau, skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

“Bagi maksud menambah hasil dan meluaskan asas percukaian, maka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam.

“Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
“Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.

Katanya, ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.

“Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas