PASUKAN Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang menyertai Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) boleh membuat serangan balas terhadap tentera zionis jika kedudukan mereka terancam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu selaras dengan garis panduan ditetapkan UNIFIL terutamanya tindakan-tindakan langkah perlindungan.
“Memang kita terima hakikat bahawa ketika ini ancaman semakin meningkat dan semua perkara-perkara yang dilalui itu adalah di bawah kawalan UNIFIL.
“UNIFIL telah menetapkan garis panduan terutamanya soal semua ancaman dan cabaran yang dihadapi kepada tindakan-tindakan force protection yang disediakan.
“Jika berlaku serangan dari segi force protection measure yang telah ditetapkan, kalau untuk self defence (mempertahankan diri) maka memang boleh untuk kita membalas tembakan dan sebagainya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai situasi keselamatan pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan.
Mohamed Khaled berkata, namun kalau untuk melakukan ‘offensive attack’ (serangan ofensif), itu tidak dibenarkan kerana peranan dan tanggungjawab pasukan UNIFIL adalah sebagai pengaman.
Beliau berkata, Malaysia masih mengekalkan kedudukan MALBATT 850-11 di selatan Lubnan dan soal pengunduran adalah bergantung kepada UNIFIL.
“Kedudukan di sana, kita (MALBATT) di bawah command structure UNIFIL, semua operasi pergerakan kita adalah di bawah tanggungjawab UNIFIL, mereka yang buat keputusan.
“Sama ada kita undur atau tidak, bergantung kepada keputusan UNIFIL dan juga persetujuan bersama semua negara-negara terlibat, bukannya keputusan kita bersendirian.
“Indonesia pun, tentera mereka cedera, kerajaan mereka menegaskan akan terus bersama menjayakan pasukan pengaman di bawah UNIFIL,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, seramai 853 dan pegawai MALBATT 850-11 yang menyertai UNIFIL ketika ini berada dalam keadaan selamat.
Katanya, ini termasuk 29 anggota Angkatan Bersenjata Brunei yang turut menyertai misi pengaman tersebut.
“Berdasarkan laporan yang diterima, keadaan semasa mereka masih terkawal.
“Tahap keselamatan semasa pasukan adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset di kawasan yang dijaga dan dikawal oleh pasukan kita sepanjang tempoh perang antara Hezbollah dan Israel,” katanya.
Beliau menambah, kesemua pasukan di bawah pasukan UNIFIL termasuk MALBATT 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan oeprasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing. – WILAYAHKU