Berita

Rossa selebriti pertama membuka USANITA Entertainment

- Diterbit 16 Oktober 2024 7:02 PM MYT

PENYANYI popular Indonesia, Datuk Seri Rossa dipilih sebagai selebriti pertama merasmikan Usanita Entertainment, sebuah cabang baru di bawah Usanita Sdn Bhd yang komited memperkasa dan menaik taraf industri kreatif tempatan.

Usanita Entertainment berhasrat untuk mewujudkan ekosistem mampan dalam industri seni dan budaya, dengan menekankan inovasi serta kolaborasi antara penggiat seni tempatan dan antarabangsa.

Pelancaran rasmi dimulakan dengan episod istimewa audio siar bertajuk Usanita: Unwrapped Kisah Di Sebalik Spotlight Special Edition With Dato Sri Rossa.

Program dihoskan Awal Ashaari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan.

Upacara tersebut menjadi simbolik kepada hala tuju baharu yang akan diterokai Usanita dalam menyokong perkembangan industri kreatif.

Adzliana berkata penglibatan Rossa sebagai figura utama pelancaran ini sangat signifikan, memandangkan beliau bukan sahaja dihormati sebagai penyanyi, tetapi sebagai ikon yang berperanan besar dalam memupuk hubungan antara penggiat seni dari Malaysia dan Indonesia.

“Kami berbangga dapat memulakan langkah pertama ini dengan Datuk Seri Rossa, yang membawa pengalaman dan pengaruh antarabangsa dalam arena kreatif.

“Ini membuka jalan untuk kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Rossa tiba di sini bagi menghadiri Malam Gala Filem Dokumentari All Access To Rossa: 25 Shining Years.

Sementara itu Adzliana yakin mampu memainkan peranan besar dalam mentransformasikan industri seni negara ke tahap yang lebih tinggi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas