KOLABORASI strategik antara Kerjaaan Persekutuan dan Negeri melalui integrasi dua sistem iaitu eBantuanJKM dan iSPEKS (Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri) telah memudahkan proses pembayaran Bantuan Am Negeri di 11 buah negeri di Semenanjung.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata reformasi itu bagi memperkemas sistem pembayaran bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sebelum ini mengguna pakai kaedah baucar manual.
“Ia juga dapat mengurangkan risiko penyelewengan dan memudahkan proses pemantauan yang sistematik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nancy berkata sistem itu dilaksanakan secara antara muka kedua sistem tanpa melibatkan intervensi manual, menjadikan proses penyaluran bantuan yang lebih telus, cekap dan berkesan.
“Sehingga Ogos 2024 terdapat sejumlah 543,008 penerima bantuan JKM seluruh Malaysia dan daripada jumlah tersebut, seramai 90,559 orang (16.7%) adalah penerima Bantuan Am Negeri.
“Pelaksanaan inisiatif ini sangat bertepatan dengan hasrat dan hala tuju Kerajaan supaya penyampaian perkhidmatan sektor awam diberi satu anjakan islah atau penambahbaikan berterusan terhadap landskap penyampaian perkhidmatan awam.
“Ia juga selaras dengan hasrat untuk mereformasikan perkhidmatan awam agar lebih pantas, tangkas dan dinamik di semua peringkat,” ujar beliau.
Jelasnya lagi ia merupakan satu contoh transformasi penyampaian perkhidmatan awam berasaskan kepada pendekatan keseluruhan kerajaan secara bersepadu dan merentas agensi dengan membudayakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sektor awam.
Untuk rekod, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM, dengan kerjasama dan sokongan padu daripada Jabatan Akauntan Negara (JANM) dan Kerajaan Negeri telah berjaya menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan melaksanakan reformasi dalam penyaluran Bantuan Am Negeri di 11 negeri yang terlibat.- WILAYAHKU