Berita

Rugi RM3.46 juta akibat penipuan pelaburan saham

- Diterbit 15 Oktober 2024 11:04 AM MYT

SEORANG doktor di pusat perubatan swasta alami kerugian sebanyak RM3.46 juta selepas terpedaya skim pelaburan saham tidak wujud melalui ‘Online Dimensional Investment’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 45 tahun ini membuat pelaburan dengan menandatangani kontrak perjanjian atas nama syarikat ‘Dimensional’.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerima laporan polis di daerah Serdang berkaitan tipu pelaburan saham.

“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati modus operandi digunakan suspek untuk memperdaya mangsa dalam urusan pelaburan ini adalah melalui akaun pelaburan saham QFII dipanggil L-Trader Max.

Katanya, suspek meminta mangsa menandatangani perjanjian kontrak atas nama syarikat ‘Dimensional’ dan meyakinkan mangsa bahawa syarikat ini berdaftar serta beroperasi di Singapura.

Katanya, pihak polis mendapati perjanjian kontrak tersebut adalah palsu.

Justeru polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan skim-skim tawaran pelaburan dalam talian dan melalui aplikasi trader.

“Sentiasa membuat semakan dan pengesahan tentang kewujudan pelaburan saham tersebut dengan agensi-agensi berkenaan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk membuat sebarang pertanyaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas