KUNJUNGAN dua kapal tentera dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang pada 5 Oktober lalu dibuat mengikut permohonan diplomatik dan tidak melanggar peraturan Malaysia.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, permohonan diplomatik yang turut melibatkan kunjungan pelajar Naval University of China itu dibuat Kedutaan China.
Katanya, ia juga selaras sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Ia mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan dan kelulusan diplomatik Kementerian Luar untuk kapal berlabuh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai isu kedatangan kapal dari China itu di Pulau Pinang yang didakwanya memberikan mesej salah kepada rakyat.
Mohamad berkata, jika ada pelanggaran peraturan dilakukan, perkara itu akan disiasat.
Beliau dalam pada itu membetulkan perkataan digunakan Mumtaz yang mengaitkan kedatangan mereka diberikan sambutan ‘luar biasa’.
“Kita tak kata sambutan ‘luar biasa’, tetapi sambutan yang meriah ya,” tegasnya.
Mengenai dakwaan isu kebocoran nota diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Mohamad berkata, pihak kementerian masih menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.
“Selalunya dokumen kita ada watermark tetapi yang dikeluarkan itu tiada watermark. Kalau diperingkat kita mesti ada watermark. Jadi kita jalankan siasatan sama ada dikeluarkan pihak lain selain kedutaan atau pihak Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan nota diplomatik bertarikh 18 Februari itu diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos lepas. – WILAYAHKU