Berita

Elak tertipu pekej murah tunai umrah

- Diterbit 11 Oktober 2024 11:47 AM MYT

SEBANYAK 60 syarikat akan mengambil bahagian pada Umrah & Muslim Travel Fair anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) pada 25 hingga 27 Oktober 2024.

Naib Presiden PAPUH, Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata sebelum ini pihaknya telah menerima banyak rungutan daripada ahli memandangkan ramai jemaah yang tertipu dengan pakej-pakej murah yang banyak diiklankan di laman media sosial.

“Mereka tertipu disebabkan terpengaruh dengan pakej yang ditawarkan dengan harga murah dan akhirnya tidak dapat terbang. Setelah diselidik baru mereka tersedar yang mereka membeli pakej daripada agensi yang tidak berlesen.

“Atas permintaan ahli PAPUH sendiri, kita bersetuju untuk menganjurkan Umrah & Muslim Travel Fair by PAPUH yang mana hanya agensi-agensi yang mempunyai lesen penuh (seperti Inbound, Outbound, Ticketing dan Umrah) sahaja dibenarkan untuk mengambil bahagian,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Mursyid berkata PAPUH turut bekerjasama dengan syarikat penerbangan Saudia (Saudia Airlines) bagi menjayakan lagi acara ini.

“Jadi, kami ingin mengajak semua rakyat Malaysia yang ingin melancong untuk datang ke Umrah & Muslim Travel Fair by PAPUH ini untuk mendapatkan pakej-pakej umrah, pelancongan mesra Muslim ke serata dunia, pas-pas masuk ke taman tema, tiket penerbangan serta tidak ketinggalan pakej-pakej percutian dalam negara dengan harga yang sangat menakjubkan.

“Kita juga menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pelanggan yang membuat tempahan semasa acara ini di mana hadiah utamanya adalah baucar umrah atau pelancongan bernilai RM2,000, 25 baucar umrah atau pelancongan bernilai RM500 dan 20 set Ihram,” ujarnya.

Tambahnya antara agensi yang akan terlibat sepanjang program adalah RMS Travel & Tours Sdn Bhd; Madini Travel & Tours Sdn Bhd; PDC Travel Sdn Bhd; Barakah Umhaj Travel & Tours Sdn Bhd dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Mursyid mengajak orang ramai untuk memeriahkan lagi majlis serta dapatkan pakej dengan harga promosi.

“Kepada mereka yang mempunyai perancangan untuk mengerjakan umrah atau bercuti pada hujung tahun ini, kami sangat mengalu-alukan kehadiran anda. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai pakej percutian Muslim dengan harga istimewa yang ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan berlesen,” ujarnya.

Umrah & Muslim Travel Fair by PAPUH akan diadakan pada 25 hingga 27 Oktober ini bertempat di Hotel Grand Barakah, Ampang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas