POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti butiran lanjut mengenai hantaran di media sosial mengenai anggotanya yang didakwa merokok di sebuah premis kedai makan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia termasuk bila kejadian tersebut berlaku atau gambar lama yang ditularkan.
“Kita perlu periksa kejadian itu, sama ada baru berlaku atau ia gambar lama yang ditularkan.
“Sekiranya ia kejadian baru, kita akan mengesan mereka yang terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Razarudin turut memberi amaran kepada semua warga PDRM untuk tidak melanggar undang-undang ditetapkan.
Katanya, tindakan disiplin boleh dikenakan sekiranya anggota dan pegawai dikesan melanggar peraturan ditetapkan (merokok di kawasan larangan).
Beliau turut mengingatkan anggota dan pegawai polis perlu menunjukkan teladan yang baik tanpa merosakkan imej PDRM.
Terdahulu tular di laman X menunjukkan dua anggota polis dilihat duduk di meja makan di tepi jalan sambil memegang rokok.
Selain itu, beberapa pengguna turut berkongsi gambar menunjukkan beberapa anggota merokok di kedai makan. – WILAYAHKU