MALAYSIA dan Kuwait bersetuju agar konflik yang sedang melanda di rantau Asia Barat khususnya di Palestin dan selatan Lubnan diselesaikan secara rundingan damai.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan serta Menteri Dalam Negara Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah di Kementerian Pertahanan Kuwait.
Menurut Kementerian Pertahanan, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan dan menyatakan kerisauan berhubung peningkatkan konflik yang sedang melanda di rantau berkenaan.
“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju agar konflik tersebut diselesaikan dengan cara mematuhi resolusi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kementerian itu menambah, Mohamed Khaled memulakan lawatan rasmi ke Kuwait sejak 6 Oktober lalu dan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Sheikh Fahad Yousef.
Katanya, pertemuan ini amat signifikan dan berimpak tinggi buat kedua-dua Menteri Pertahanan dalam membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala dalam pelbagai bidang.
“Ia merangkumi kerjasama ketenteraan, pertukaran maklumat dan sains, teknologi dan industri pertahanan.
“Malah kedua-dua negara kini di peringkat akhir
rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan untuk dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani pada 2025 di Kuala Lumpur,” katanya.
Jelas Kementerian Pertahanan, semasa pertemuan tersebut, Mohamed Khaled secara rasminya
memaklumkan kepada Sheikh Fahad Yousef berkenaan hasrat Kerajaan Malaysia untuk memperoleh pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Kuwait Air Force (KAF) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Ini dalam usaha mempertingkat keupayaan pertahanan udara negara.
“Menteri Pertahanan juga telah menyatakan hasrat untuk memulakan rundingan bagi mengenal pasti kaedah perolehan dan manfaat yang boleh menguntungkan kedua-dua negara,” katanya. – WILAYAHKU