Berita

Pertukaran guru SJKC di Pasir Gudang ditangguh

Foto: BERNAMA
- Diterbit 7 Oktober 2024 4:52 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan keputusan pertukaran guru-guru dari 12 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pasir Gudang, Johor yang sepatutnya mengajar di sekolah lain.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata keputusan penangguhan itu sehingga proses-proses berkait rapat tentang pembelajaran dan pendidikan murid-murid di sekolah terlibat dapat diteruskan dan akan dilakukan secara berfasa mulai tahun hadapan.

“Sebenarnya pertukaran kerja guru ini perkara biasa, tetapi isu itu kita ambil perhatian.

“Ia harus ambil beberapa perkara aspek penting termasuk tidak boleh mengganggu proses pembelajaran anak-anak ketika proses pertukaran guru berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Tekad Reformasi Pendidikan yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memohon pertukaran tersebut ditangguhkan selepas guru-guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) termasuk ibu bapa datang bertemu dengannya memohon pertukaran itu ditangguhkan.

Menurutnya, mereka tidak membantah proses pertukaran tersebut tetapi, mereka berpendapat adalah baik sekiranya dilakukan pada awal atau akhir tahun.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM tidak akan sesekali berkompromi isu-isu yang melibatkan buli di sekolah.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil kepada pembuli selepas siasatan dilakukan pihak polis.

“Saya ingin tegaskan buli adalah buli tidak kira anak siapa pun. Anak selebriti (atau) anak menteri sekalipun. Buli adalah buli.

“Kita takkan kompromi dalam soal ini. Kita telah pun buat tindakan tegas dan bersama ambil tindakan dengan pihak autoriti,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau dikenali sebagai Tam Spider mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama.

Beliau kesal dengan pihak sekolah terbabit yang tidak peka dan gagal mengambil tindakan terhadap masalah buli di sekolah itu.

Susulan pendedahan Tam, beberapa orang ibu bapa di sekolah yang sama tampil mendedahkan perkara serupa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas