SOLIDARITI terhadap nasib menimpa Palestin tetap berkobar di seluruh penjuru dunia terutama di hati umat Islam, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Menurut beliau, hal demikian kerana pembebasan Palestin bukan hanya sebagai isu politik malah sebagai kewajipan moral dan agama.
“Walaupun zionis terus menindas, perjuangan rakyat Palestin tidak pernah pudar.
“Operasi Taufan Al-Aqsa hanyalah salah satu episod perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahan hak mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata, hari ini, 7 Oktober 2024 genap setahun pembantaian rakyat Palestin oleh rejim zionis dengan bermulanya Operasi Taufan Al-Aqsa tahun lalu.
Katanya, ia menjadi salah satu daripada banyak pertempuran rakyat Palestin melawan penindasan yang mereka alami selama puluhan tahun.
“Hakikatnya ia tidak bermula pada 7 Oktober 2023 tetapi telah bermula sejak 15 Mei 1948, An-Nakbah menjadi peristiwa hitam permulaan kepada penjajahan rejim zionis Israel terhadap tanah milik rakyat Palestin.
“Sejak itulah pembunuhan, pengusiran dan kekerasan telah berlangsung tanpa henti khususnya di wilayah Gaza dan Tebing Barat,” katanya.
Dalam satu mesej video menandakan genap setahun perang genosid ke atas Gaza, Setiusaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, perang Israel ke atas Gaza sejak setahun lalu memusnahkan kehidupan rakyat Palestin dan menyebabkan penderitaan kemanusiaan yang dahsyat.
Beliau menekankan keperluan masyarakat antarabangsa terus menumpukan perhatian kepada peristiwa mengerikan itu selain mencapai penyelesaian kekal terhadap konflik berkenaan. – WILAYAHKU