Berita

Kejayaan Para SUKMA 2024 buka mata ibu bapa daftar anak OKU

ATLET Para SUKMA menunjukkan penampilan luar biasa sepanjang temasya berlangsung.
- Diterbit 6 Oktober 2024 4:32 PM MYT

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap pencapaian gemilang atlet di Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 mampu membuka mata ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) untuk mendaftarkan mereka.

Menurut Hannah, rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan hanya 700,000 kad OKU telah dikeluarkan setakat ini sedangkan dianggarkan lebih empat juta OKU masih belum berdaftar.

“Dengan kejayaan atlet dalam temasya Para SUKMA, saya yakin minat ibu bapa untuk mendaftarkan dan menggalakkan anak-anak OKU terlibat dalam sukan akan meningkat.

“Jadikan mereka yang meraih kejayaan cemerlang sebagai inspirasi kepada keluarga di luar sana untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang OKU.

“Sebagai Menteri yang menjaga portfolio belia dan sukan, saya mahu melihat sukan sebagai medium gaya hidup sihat dan kecemerlangan bagi anak-anak serta belia. Tambahan pula, sukan mampu menjadi platform penyatuan pelbagai kaum dan budaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Para SUKMA 2024.

Sarawak selaku tuan rumah Para SUKMA 2024 muncul juara keseluruhan dengan 82 pingat emas sekali gus mengekalkan status juara buat kali ke-14.

Lebih 1,200 atlet dari 15 negeri bertanding dalam Para SUKMA 2024 menyaksikan 22 rekod kebangsaan dan 71 rekod Para SUKMA berjaya dipecahkan.

Pada temasya kali ini, perenang Sabah, Shahafiq Abdullah dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik manakala Atlet Wanita Terbaik menjadi milik pemanah recurve dari Pahang, Loh Chi Hui.

Shahafiq turut menyeru atlet istimewa sepertinya yang ingin menceburi bidang sukan agar tidak malu dan tabah berusaha mengejar impian mereka.

Dia yang mengidamkan untuk beraksi di Sukan Paralimpik satu hari nanti menjadikan perenang negara, Abdul Halim Mohamad sebagai idola.

Sementara itu, Chi Hui berkata prestasi cemerlang yang ditampilkan di Para SUKMA kali ini memberikan keyakinan buatnya untuk beraksi di kejohanan antarabangsa pada masa akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas