Artikel

DBP pusat pementasan teater

SALAH satu babak teater Haji Murat yang dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP Jun lalu. - Foto: DBP
- Diterbit 4 Oktober 2024 4:41 PM MYT

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

SEJAK akhir ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilihat amat menonjol sebagai pusat pementasan teater moden dan bangsawan di Kuala Lumpur. Keadaan itu mengingatkan kembali keberadaan DBP sebagai gedung dan penggerak teater pada dekad 1970-an dan 1980-an dulu.

Kini keadaan itu berulang kembali apabila DBP tidak sahaja menjadi tempat pertemuan dalam kalangan sasterawan dan penulis, malah penggiat-penggiat teater apabila tiga premis di DBP dimanfaatkan untuk pementasan teater. Ini satu perkembangan yang baik dalam konteks pembangunan teater berskala kecil di Kuala Lumpur.

Bakat-bakat baharu dalam pengarahan, lakonan dan seni pentas memanfaatkan ruang yang diberikan oleh DBP sebagai salah satu sokongan daripada institusi yang mendokong tanggungjawab terhadap bahasa dan persuratan Melayu.

Ketika ini DBP mempunyai tiga ruang pementasan mengikut kapasiti tertentu, Balai Budaya Tun Syed Nasir, Auditorium DBP dan Stor Teater. Semua premis itu sesuai untuk pementasan teater atau bangsawan mengikut kapasiti seperti Dewan Tun Syed Nasir boleh memuatkan penonton yang ramai, keduanya Auditorium DBP dan untuk skala kecil dan karya yang eksperimental sesuai di Stor Teater.

Memberi peluang kepada persatuan atau pertubuhan teater menggunakan premis di DBP adalah satu bentuk sokongan yang boleh mengubah kedudukan seni pementasan, terutama yang berkaitan dengan seni dan budaya. Hal yang demikian menjadikan semua premis itu dimanfaatkan dengan sepenuhnya selain digunakan untuk program-program DBP sendiri.

Terbaru adalah pementasan bangsawan Megat Terawis arahan Affix Zulkarnaen Adam pada 26 hingga 29 Jun lalu di Auditorium DBP. Program Siri Bangsawan 2024 itu diteruskan dengan pementasan Puteri Maharaji pada 11 hingga 13 Oktober ini di tempat yang sama. Semua pementasan ini mendapat kerjasama DBP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Pada 26 hingga 29 Jun lalu, Badan Budaya DBP sebuah kumpulan kesenian yang diasaskan sejak tahun 1967 mementaskan teater perdana Haji Murat yang diadaptasi dari novel sasterawan Rusia, Loy Tolstoy. Teater Haji Murat diarahkan bersama oleh Wahab Hamzah dan Aris Othman daripada naskhah adaptasi oleh Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan.

Sinergi antara Persatuan Teater Malaysia (PTM) pimpinan Sakrani Shamsuddin dengan pihak pengurusan tertinggi DBP memperlihatkan kesan yang baik dalam pembangunan seni persembahan terutama teater moden dan bangsawan. PTM kini menjadi satu-satunya persatuan teater yang aktif dalam mengembang dan melestarikan kegiatan teater di negara ini.

Kerjasama erat antara DBP dengan PTM memperlihatkan hasil yang baik dalam membangunkan teater khususnya dalam konteks pelestarian persuratan Melayu melalui teater. Kedua-dua bidang itu berperanan mempertingkatkan cakna masyarakat terhadap persuratan Melayu dan pelestarian budaya.

Hubungan DBP dan seni pementasan teater sebenarnya bukan baharu, malah telah lama berkembang dan saling bertimbal balik antara satu dengan lain. Sebagai sebuah institusi bahasa dan persuratan Melayu, DBP amat terkait dengan hal-hal pembangunan seni persembahan sama ada teater moden dan tradisional.

Perlu realistik

Banyak pertubuhan atau persatuan teater mendapat kerjasama daripada DBP untuk membuat pementasan terutama daripada segi tempat pementasan. Hal itu merupakan sokongan yang cukup besar disebabkan tidak semua persatuan mempunyai kemampuan menyewa ruang pementasan yang agak mahal.

Bagaimanapun tidak dinafikan bahawa banyak juga pementasan teater yang dibuat di premis yang disewa daripada pihak swasta. Itu satu usaha mandiri yang amat baik. Pada sudut yang lain pula dokongan oleh pihak seperti DBP juga mempunyai manfaat yang tersendiri misalnya meringankan beban biaya sesetengah persatuan untuk mementaskan teater.

Pendekatan yang diambil oleh DBP itu juga sebenarnya membantu usaha pihak-pihak berkaitan teater, misalnya JKKN. Kerjasama erat antara kedua-duanya, DBP dan JKKN memberikan manfaat yang besar dalam usaha memantapkan seni teater khususnya di Kuala Lumpur.

Kita perlu realistik bahawa tidak semua persatuan atau pertubuhan teater mempunyai kemampuan kewangan untuk menjalankan kegiatan, terutama apabila berdepan kadar sewa premis yang agak tinggi. Mementaskan teater di negara ini, termasuk Kuala Lumpur adalah kegiatan sosial yang bercorak kebahasaan, seni dan budaya.

Oleh sebab itu tidak boleh melihat semua pementasan teater sebagai satu cabang yang menjana ekonomi kepada penggiatnya. Pertembungan tuntutan ekonomi sering kali mengatasi keperluan daripada segi nilai yang dibawa dalam sesebuah pementasan.

Maka dalam konteks itu, sokongan oleh pihak seperti DBP terutama dalam bentuk memberi ruang pementasan sudah pasti membolehkan karya-karya yang baik dapat dipentaskan tanpa perlu mengorbankan nilai kerana tuntutan ekonomi. Setidak-tidaknya tidak terbeban sewa tempat pementasan yang menelan biaya yang besar.

Dalam keadaan ini, DBP yang mempunyai premis yang sesuai untuk pementasan adalah alternatif yang amat tepat lagi berharga bagi kumpulan teater tempatan. Cara itu telah memberikan peluang kepada kumpulan teater kecil yang mempunyai semangat besar untuk berkarya sekalipun tidak mempunyai biaya yang besar.

Kehadiran DBP sebagai tempat pementasan tidak hanya menyokong ekosistem seni teater, tetapi pada masa yang sama memberi laluan kepada banyak bakat baharu mengembangkan kemampuan hingga peringkat yang lebih tinggi. Hal itu kerana banyak program teater di DBP memberikan peluang penyertaan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Teater perlu kembali rancak seperti dekad 1980-an dengan pementasan yang tidak pernah putus di Kuala Lumpur. Ketika itu terdapat banyak kumpulan teater yang aktif di Kuala Lumpur memanfaatkan Panggung Drama di Jalan Bandar. Sekarang bangunan Panggung Drama menjadi sebahagian daripada pejabat JKKN Wilayah Persekutuan.

Seingat saya hanya itulah tempat pementasan yang tidak berbayar di Kuala Lumpur dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh banyak kumpulan teater. Panggung Drama yang diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa penuh dengan kegiatan teater iaitu latihan dan pementasan.

Kini, pementasan teater berskala kecil perlu diadakan secara berterusan, terutama di Kuala Lumpur. Perkembangan teater tidak diukur pada pementasan yang bertaraf mega sahaja, akan tetapi yang skala kecil tetapi berterusan. Teater beginilah yang membawa khalayak dekat dan kenal dengan seni teater yang sebenar.

DBP dan DBKL yang menyediakan ruang pementasan di Panggung Bandaraya Lama adalah suatu usaha yang amat menyumbang pada kelestarian kegiatan teater di Kuala Lumpur. Sebelum ini Panggung Bandaraya Lama banyak digunakan untuk program pementasan teater tradisi bangsawan yang dikendalikan oleh JKKN.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas