Berita

Putrajaya ‘champion’ berat badan berlebihan, kolesterol tinggi

Foto: Shuaib Ayob / WILAYAHKU
- Diterbit 28 September 2024 3:28 PM MYT

PUTRAJAYA, Wilayah Persekutuan menempatkan warga penjawat awam dilihat ‘champion’ dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 apabila 61.2 peratus daripada mereka berlebihan berat badan atau obes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia melebihi paras kebangsaan iaitu 54.5 peratus.

Malah katanya, 34.6 peratus warganya mempunyai paras kolesterol tinggi dalam darah, melebihi 33.3 peratus daripada paras kebangsaan.

“Namun bagi kencing manis pula Putrajaya menurun kepada 11.3 peratus, juga hipertensi (24.9 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Putrajaya Sihat Sejahtera sempena sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Putrajaya di Dataran Wawasan, Putrajaya hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kerajaan telah berbelanja besar iaitu dengan nilai lebih RM10 bilion untuk merawat tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) melibatkan ken­cing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau obesiti.

Katanya, ‘pandemik’ NCD khususnya dalam kalangan penjawat awam boleh menjejaskan produktiviti kerja dan jika ada yang hadir ke pejabat untuk bekerja pun, ia tidak akan mencapai paras produktiviti diperlukan.

“Untuk itu saya ingatkan semua, selagi kita tidak menjaga kesihatan, selagi itulah segala kempen kita tidak mencapai matlamatnya.

“Sebab itu kita pilih Putrajaya sebagai kempen pertama Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebab ia menempatkan kebanyakan penjawat awam. Kita mahukan agenda kesihatan ini menjadi bualan harian dan bermula dengan ada pengetahuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas