Berita

Aisha Retno bongkar kisah wanita dalam Samudera, janji all out dalam konsert 16 November ini!

- Diterbit 28 September 2024 11:52 AM MYT

SETELAH mencipta kejayaan merangkul trofi naib juara dan persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) menerusi lagu nyanyian dan ciptaannya bersama MFMF, Sutera Mac lalu, Aisha Retno kini tampil dengan single terbaharu berjudul Samudera pula.

Menariknya tentang Samudera, ia mengetengahkan elemen warisan budaya negeri Kelantan dalam bait lirik serta liriknya.

Menurut Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, dia gembira kerana dapat menonjolkan elemen budaya yang indah menerusi karya yang dihasilkan.

“Syukur Alhamdulillah, lagu Sutera sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan
daripada peminat dan mendapat tempat di AJL38.

“Selepas itu ramai yang bertanya
bila saya mahu keluarkan lagu baharu yang boleh digelar adik kepada Sutera.

“Kali ini, saya masih kekal dengan hala tuju muzik etnik EDM, memang sangat
seronok menghasilkan lagu seperti ini kerana kita semua kaya dengan budaya yang boleh ditonjolkan menerusi muzik.

“Dalam lagu Samudera, saya membawakan elemen tradisi dari negeri Kelantan pula kerana selain mewarisi darah Indonesia daripada ibu, saya juga berdarah Kelantan yang diwarisi daripada Ayah saya. Jadi dalam lagu Samudera, saya memberi penghargaan kepada warisan budaya Kelantan seperti mak yong dan dikir barat.

“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat meneroka budaya yang mengalir dalam
darah saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Aisha berkata dia mendedikasikan lagu Samudera kepada kaum wanita di luar sana. Penceritaan lagu ini yang diinspirasikan daripada legenda Hikayat Cik Siti Wan Kembang pastinya menyampai mesej yang positif dan memberi semangat kepada pendengar.

“Saya mendedikasikan lagu ini kepada pejuang-pejuang wanita di luar sana, tidak kiralah mereka bergelar ibu, anak, adik atau kakak.

“Kita sebagai kaum hawa dan
manusia secara amnya, harus menjadi kuat dan tahu bahawa cinta itu universal, ianya luas dan pelbagai termasuk rasa cinta kepada keluarga, kawan-kawan serta sesama manusia.

“Untuk penceritaan lagu ini, saya ambil inspirasi daripada legenda Hikayat Cik Siti Wan Kembang di Kelantan. Kisah hikayat ini menarik perhatian saya kerana ramai
lelaki yang cuba menawan hati Cik Siti Wan Kembang namun gagal.

“Apa yang ketara, Cik Siti Wan Kembang telah menunjukkan rasa cinta yang sangat kuat terhadap negeri Kelantan. Di situ kita dapat lihat bahawa cinta bukanlah tentang
pasangan yang berkasih sayang semata-mata.

“Selain itu, lagu ini juga menjadi simbolik kepada apa yang saya sendiri lalui. Tahun ini, saya melalui banyak cabaran dan pada masa sama banyak juga rezeki yang dikurniakan oleh-Nya.

“Semua cabaran dan rezeki yang diperoleh ini saya anggap seluas Samudera. Sebab itulah lagu ini sangat bermakna untuk saya kerana setiap bait lirik yang saya tulis, kisahnya dekat dengan saya,” katanya lagi.

Mengenai proses penghasilan pula, Aisha akui ia bukanlah mudah kerana dia perlu mempelajari budaya negeri Kelantan dengan bersungguh-sungguh.

“Saya nukilkan lagu ini bersama Glowrush, Shanekennedy dan Karazey. Manakala Ayah saya pula menasihati dari segi lirik yang menggunakan perkataan Kelantan.

“Sebenarnya saya ambil masa yang agak lama untuk membuat perbincangan
terutama untuk menghasilkan lirik yang diinspirasikan daripada Hikayat Cik Siti Wan Kembang.

“Pada saya, proses menulis lagu Samudera kali ini jauh lebih sukar berbanding menulis lagu Sutera dahulu. Semuanya harus dihasilkan dengan penuh teliti.

“Lagipun budaya Kelantan, seninya agak berat dan perlu difahami dengan baik. Lagu ini siap dihasilkan pada bulan Julai lalu, kami ambil masa lebih kurang tiga minggu untuk menyempurnakannya.

“Untuk lontaran vokal, saya berguru dengan Encik Rosnan Rahman yang membantu dan mengajar saya untuk melontarkan vokal dalam nyanyian mak yong dengan cara yang betul.

“Saya pun sudah bekerjasama dengan beliau ketika membuat persembahan mak yong di pertandingan The Hardest Singing Show baru-baru ini,” jelasnya.

Konsert Malam Sutera Live In Concert
Dalam perkembangan lain, Aisha bakal muncul dengan konsert sulung Malam
Sutera Live In Concert, pada 16 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Berkongsi perasaannya, Aisha akui terkejut ketika mula-mula menerima tawaran daripada pihak penganjur iaitu Kharisma Music.

“Sejujurnya saya memang terkejut kerana bukan pihak saya yang mengusulkan untuk membuat konsert, sebaliknya saya ditawarkan oleh pihak penganjur.

“Saya yakin rezeki ini sudah tertulis untuk saya, jadi saya tak mahu menolaknya.

“Walaupun saya baru berusia 24 tahun dan masih banyak yang boleh saya kecapi,
buat masa ini, konsert ini adalah rezeki yang cukup besar untuk saya. Biarlah saya
nikmatinya dan melakukan yang terbaik.

“Setakat ini, persediaan untuk konsert berjalan dengan lancar. Saya bersama
pasukan saya sedang sibuk membuat perbincangan dari semasa ke semasa untuk memberikan yang terbaik kepada semua penonton yang hadir.

“Selain mengumpul material untuk persembahan, kami juga sedang meneliti aspek busana yang sesuai dipakai pada malam konsert itu kerana pergerakan saya ketika membuat persembahan memang akan all out,” ujarnya.

Pembelian tiket Malam Sutera Live in Concert boleh dibuat menerusi
www.ticket2u.com.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas