Berita

Perlu yakin kebolehan diri, OKU potensi ke persada dunia

HANNAH (kanan) meluangkan masa melawat persiapan atlet para renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong.
- Diterbit 27 September 2024 6:33 PM MYT

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru golongan orang kurang upaya (OKU) agar tidak berasa rendah diri sebaliknya yakin dengan potensi mereka untuk menyumbang kepada negara seperti menjadi atlet para yang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Hannah berkata demikian terutamanya selepas atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) para juga menikmati kenaikan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang membolehkan mereka menjadikan sukan sebagai kerjaya tetap.

“Ini mesej yang nak kita sampaikan tidak kira peristiwa apa yang berlaku sekalipun, kalau anda tidak berfikir dalam victim mindset iaitu pasti boleh melakukan dengan berkat sokongan semua sebab platform sudah disediakan.

“Ramai ingatkan perlu umur di bawah 21 tahun sahaja tetapi sebenarnya tidak. Jangan malu sebab mungkin mereka ada bakat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya akan mengkaji semula peraturan Para SUKMA agar selaras dengan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Para ASEAN.

“Sebagai contoh untuk penambahbaikan yang telah dilakukan untuk Para SUKMA kali ini adalah penglibatan dua negeri saja, event akan berjalan.

“Hal ini kerana untuk kategori OKU, terdapat pelbagai klasifikasi, jadi kalau kita tidak bagi peluang kepada seseorang itu, mungkin bakat itu yang kita perlukan untuk wakili negara.

“Kita juga akan mempelbagaikan lagi kejohanan dalam negara untuk mencungkil lebih banyak bakat baharu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap temasya Para SUKMA 2024 yang dibuka secara rasmi di Stadium Perpaduan 22 September lalu menjadi platform kelahiran bakat baharu termasuk lebih ramai atlet wanita bagi membawa cabaran negara di Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk R. Subramaniam berkata pihaknya sememangnya mahu melihat lebih ramai atlet berpotensi lebih-lebih lagi dalam sukan olahraga mahupun renang memandangkan dua sukan berkenaan menawarkan pingat yang banyak dalam temasya sukan berprestij itu.

“Bayangkan dalam sukan olahraga ada 30 emas untuk acara 100 meter (m) sahaja. Di situlah terdapatnya peluang besar dan kita seperti tidak memberi tumpuan kepada perkara ini.

“Strategi kami melangkah ke hadapan adalah untuk mendapatkan lebih kategori dan mencapai keseimbangan jantina,” ujarnya.

Beliau berkata MPM juga berhasrat menyaksikan satu per tiga atlet wanita menyertai kontinjen negara pada LA28 memandangkan banyak negara lain juga sudah mula mencapai tahap penyertaan lebih kurang setara bagi kedua-dua jantina terutamanya pada Sukan Paralimpik Paris 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas