LEMBAGA Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dinobatkan sebagai Bidang Kuasa Antarabangsa Terbaik bagi Perbankan dan Kewangan Islam 2024 pada Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) ke-14, baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa, kejayaan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting Labuan FSA dalam memajukan kewangan Islam di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) khususnya menerusi promosi Inisiatif Pusat Aset Digital Islam (IDAC).
“Saya melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian syarikat dan kakitangan kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kami berharap ia dapat menjadi usaha berterusan dalam memajukan kewangan Islam di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah tersebut disampaikan pada majlis makan malam di Maldives dan dihadiri oleh tokoh sektor kewangan Islam termasuk pemimpin institusi kewangan dan badan kawal selia terkemuka.
Mengulas lanjut mengenai IDAC, beliau berkata sejak ia dilancarkan pada Oktober 2022, inisiatif itu memperkenalkan platform inovatif seperti bursa digital Islam yang membolehkan penerbitan, penyenaraian dan perdagangan token sekuriti patuh Syariah atau RAMZ.
Katanya, Labuan dijangka akan menjadi pemain utama dalam bidang kewangan digital global dengan tumpuan kepada aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain patuh syariah.
“Aspek penting lain adalah Pelan Hala Tuju Labuan IBFC yang merangkumi hab blockchain patuh syariah pertama dunia dan pakej insentif terbaharu bagi sand box kawal selia sekali gus menekankan komitmen wilayah itu terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam sektor kewangan Islam,” katanya. – WILAYAHKU