MALAYSIA melahirkan kebimbangan dengan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel di Lubnan yang telah meragut lebih 600 nyawa.
Ia juga menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang dahsyat di negara tersebut.
Menurut Wisma Putra, untuk itu Malaysia menyeru konflik tersebut dihentikan dengan serta-merta bagi mengelak peningkatan ketegangan di rantau berkenaan.
“Sebagai menyokong usaha diplomatik menamatkan konflik ini, Malaysia mengalu-alukan Kenyataan Bersama 25 September 2024 oleh Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Qatar.
“Kenyataan Bersama itu menggesa gencatan senjata segera, selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 1701,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Wisma Putra menambah, Malaysia juga dengan tegas menggariskan keperluan melaksanakan Resolusi UNSC 2735 untuk menamatkan segera pembunuhan beramai-ramai dan malapetaka kemanusiaan di Gaza.
Malaysia katanya, menegaskan komitmen untuk mempromosikan keamanan, dialog dan kerjasama dalam mencapai keadilan, keselamatan serta keamanan antarabangsa.
“Malaysia terus menyokong semua usaha bagi tujuan mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik yang sedang berlangsung,” katanya. – WILAYAHKU