Berita

JIM tidak kompromi pegawai salah guna kuasa – Zakaria

- Diterbit 19 September 2024 2:48 PM MYT

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang menyalahgunakan kuasa untuk tujuan kepentingan peribadi yang melanggar undang-undang negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan telah menahan 29 pegawai Imigresen.

Menurut Zakaria, kesemua mereka ditahan kerana disyaki bersengkokol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi ‘counter setting’ semalam.

“Pihak JIM komited untuk beri kerjasama penuh kepada SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi terlibat berhubung tindakan lanjut sususlan penahanan 49 pegawai Imigresen berkaitan ‘conter setting’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zakaria, pihak jabatan juga mengambil maklum berhubung 11 kelemahan utama yang membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

“Pihak JIM telah meneliti dan mengambil tindakan reformasi proses kerja dan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh dengan mengambil kira teguran dan cadangan penambahbaikan yang diberikan dalam masa terdekat.

“Malah, JIM tidak akan berkompromi dalam menjamin keselamatan pintu masuk negara sentiasa dipelihara,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan, semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pegawai kanan lelaki imigresen yang disifatkan ‘berpengaruh’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi dalang utama kepada sindiket membawa warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’

Lelaki itu merupakan salah seorang daripada 50 penguat kuasa JIM yang ditahan SPRM ekoran membawa masuk pekerja asing melalui kaunter tertentu tanpa melalui pemeriksaan ditetapkan.

Kesemua mereka ditahan menerusi Op Pump, Op Setting dan Open Pump 2.0 hasil risikan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM selama enam bulan.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas