Berita

Permainan digital

PERSEMBAHAN langsung oleh Orkestra Kuala Lumpur yang mempersembahkan muzik dari permainan buatan Malaysia.
- Diterbit 13 September 2024 10:30 AM MYT

ORKESTRA Kuala Lumpur tampil dengan persembahan berlainan pada kali ini dengan memainkan lagu-lagu yang bertemakan permainan digital.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata apabila permainan digital dan muzik bersatu maka terciptalah Orkestra Permainan Digital.

“Orkestra Permainan Digital merupakan sebuah persembahan yang memainkan lagu-lagu yang bertemakan permainan digital seperti Mobile Legend Bang Bang, Gigabash, King League II dan banyak lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

Tambahnya, Orkestra Permainan Digital yang berlangsung selama dua jam itu telah dipersembahkan oleh Orkestra Kuala Lumpur pada malam Selasa bertempat di Auditorium Bandaraya, Menara DBKL 1.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif dan Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh.

DBKL berkata ia merupakan program kerjasama di antara pihak DBKL dan MDEC sempena Malaysia Digital Content Festival 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 September ini.

“Di sana terdapat LEVEL UP PLAY, CREATORS XPO KL dan MyDigitalMaker yang akan menghimpunkan pemain industri kandungan digital dalam bidang pembangunan animasi, permainan digital serta teknologi kreatif tempatan dan antarabangsa.

“Para hadirin juga berpeluang untuk mencuba permainan dalam pameran mini khas.

“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang, https://mdec.my/levelup-play dan jom turut serta dalam inisiatif kerajaan ke arah Malaysia Digital City,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas