KERAJAAN tegas dan komited dalam memerangi sebarang salah laku serta ketirisan yang berlaku dalam apa jua projek yang dilaksanakan demi manfaat rakyat.
Pakar politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berpandangan komitmen kerajaan untuk mengambil tindakan adalah satu langkah terpuji dan perlu diberi sokongan oleh semua pihak.
“Jika kita lihat ketegasan kerajaan dalam isu salah laku berkaitan pemberian projek-projek di bawah kerajaan ini semakin meningkat. Kerajaan amat komited untuk mengambil atau mengenakan satu bentuk tindakan yang berat terhadap sebarang kes yang melibatkan salah laku ketirisan.
“Ia adalah satu langkah yang memberi manfaat dan amat berguna bukan sahaja kepada negara malah kepada semua masyarakat,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Ahmad Martadha, penekanan kerajaan juga sekali gus terus menjaga keharmonian dalam perkhidmatan awam khususnya.
“Ia juga selaras dengan penekanan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan bahawa perkhidmatan awam sentiasa berada dalam keadaan terbaik selain tatakelola serta perkhidmatan terbaik yang boleh diberikan.
“Justeru itu, sebarang bentuk salah guna kuasa atau ketirisan wajar diambil tindakan tegas kerana penjenayah ini merupakan musuh kepada negara,” ujarnya.
Ahmad Martadha menegaskan projek-projek tersebut juga adalah demi manfaat kepada rakyat maka jika tidak mencapai objektif ia adalah satu kegagalan yang amat besar kesannya.
“Projek-projek tersebut adalah untuk manfaat semua pihak, namun jika gagal maka implikasinya amat besar terutamanya daripada sudut kewangan negara yang sudah mengeluarkan belanja yang besar.
“Malah projek 1BestariNet yang gagal, secara tidak langsung ia juga merencatkan pembangunan pendidikan negara,” tegasnya.
Oleh kerana itu, beliau berkata adalah penting bagi syarikat-syarikat untuk mematuhi garis prosedur yang telah ditetapkan kerajaan.
“Kita lihat komitmen kerajaan untuk ambil tindakan sangat disokong oleh rakyat kerana kita tahu bahawa projek-projek yang telah dilaksanakan adalah menggunakan wang rakyat.
“Jadi perlulah setiap perbelanjaan untuk laksanakan projek kerajaan dibuat berhemah mengikut tatakelola dan prosedur dari segi masa, belanja serta objektifnya,” katanya.
Ahmad Martadha berkata setiap syarikat yang dilantik wajar mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk menjayakannya.
“Bagi saya kerajaan sudah mengeluarkan garis panduan spesifik di mana garis panduan berkaitan dengan perolehan, ketelusan, tiada campur tangan misalnya. Justeru itu, segala bentuk projek tersebut dapat dilaksanakan tugasnya dengan adil dan saksama tanpa ada kepentingan oleh pihak-pihak tertentu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, antara kegagalan 1BestariNet adalah kerana objektifnya yang gagal memberi manfaat kepada warga pendidik khususnya.
“Projek seperti 1BestariNet adalah satu projek yang menelan belanja sangat besar, pelan atau perancangan awal dilihat sangat baik kerana memberi manfaat kepada guru-guru serta pelajar-pelajar sekolah.
“Apabila sesuatu projek itu menelan belanja yang besar malah tidak memberikan sebarang faedah kepada penerima ia memberi satu kesan yang buruk kepada pembangunan negara.
“Ia perlu dikaji secara terperinci, setiap projek yang dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya adalah demi kebaikan rakyat yang membangunkan negara, kerajaan juga mengambil langkah tepat di dalam membendung ketirisan atau membuang segala projek yang merugikan,” ujarnya.
Ahmad Martadha beranggapan tindakan tegas wajar diambil kepada sesiapa yang terlibat.
“Kalau kita lihat, sebelum ini, menerusi Laporan Ketua Audit Negara, ada beberapa syarikat yang menyalahgunakan dana kerajaan telah diambil tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Maka kerajaan memandang serius isu ketirisan ini, justeru itu, diharapkan satu tindakan tegas dapat dikenakan kepada yang terlibat,” jelasnya. – WILAYAHKU