PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Vladivostok, Persekutuan Rusia bagi memulakan lawatan kerjanya selama dua hari.
Beliau yakin lawatan kerja di Rusia akan membawa manfaat yang terbaik kepada Malaysia dan memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara.
“Alhamdulillah, selamat tiba di Vladivostok, Persekutuan Rusia.
“Kunjungan ini pastinya akan membawa manfaat yang terbaik kepada Malaysia, terutamanya dalam memperkukuh kerjasama serta hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Persekutuan Rusia,” katanya di Facebook.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 September.
Beliau akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno pada 5 September.
Kemuncak lawatan adalah pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan (BRICS) kerana Rusia memegang jawatan Pengerusi BRICS.
Pada 28 Julai lalu, Anwar berkata, Malaysia telah menghantar permohonan kepada Rusia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS susulan kunjungan hormat yang dilakukan oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.
Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva. – WILAYAHKU