Berita

Operasi SAR mangsa tanah jerlus Masjid India dihentikan

- Diterbit 31 Ogos 2024 4:46 PM MYT

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah jerlus di Masjid India dihentikan hari ini atas beberapa faktor, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Dalam satu sidang medianya, beliau berkata salah satu sebab dihentikan adalah atas faktor keselamatan anggota keselamatan yang terlibat SAR tersebut.

“SAR tidak boleh teruskan lagi atas sebab keselamatan. Keselamatan dan kesihatan anggota pasukan turun ke bawah mencari mangsa.

“Ada juga kemungkinan arus agak deras membahayakan keselamatan anggota yang turun (ke bawah pencarian mangsa),” katanya.

Menurut Zaliha keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada sudut pakar.

Beliau berkata faktor lain antaranya keselamatan kawasan dan keselamatan umum pengunjung turut diambil.

“Keselamatan umum pengunjung melalui Jalan Masjid India juga diambil,” katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata fasa seterusnya akan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan lakukan beberapa perkara antaranya pemetaan utiliti.

Jelasnya, pemetaan utiliti akan dilaksanakan bagi melakukan kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur.

“Kemudian ‘engagement’ bagi membantu peniaga di sini.

“Minta orang ramai perlu mendapatkan berita sahih daripada pihak autoriti,” katanya.

Tambah Zaliha lagi, beliau menegaskan Kuala Lumpur adalah kawasan selamat dan pihak geologi akan memaklumkan khusus berkaitan struktur di ibu kota.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian tanah jerlus pada 23 Ogos lalu yang menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang.

Mangsa dilaporkan terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di lokasi itu dengan operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kesembilan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas