Berita

Tanah jerlus: SAR diteruskan dengan komitmen padu semua agensi

- Diterbit 30 Ogos 2024 9:58 PM MYT

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR)  diteruskan pada hari kelapan dengan komitmen padu semua agensi yang terlibat.

Unit Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata pencarian pasukan SAR pada malam semalam diteruskan sehingga pukul 6 pagi tadi.

“Tiga pam elektrik berkapasiti tinggi telah digunakan oleh pasukan SAR untuk menurunkan paras air sehingga 2.5 kaki dari dasar paip supaya pasukan SAR boleh meneruskan penelitian semula jajaran paip dari manhole 1 (ground zero) sehingga manhole 2 (Wisma Yakin).

“Jentera berat juga telah digunakan bagi membantu melaksanakan kerja-kerja penebukan bagi membolehkan saluran paip penyedut tambahan yang dibawa oleh Indah Water Konsortium (IWK) digunakan untuk menurunkan paras air seminima yang mungkin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pasukan SAR telah berusaha untuk memasuki saluran paip kumbahan secara man entry melalui manhole 1 (ground zero) dan manhole 2 (Wisma Yakin).

Katanya, bagaimanapun usaha pasukan SAR gagal kerana faktor laluan yang sempit dan peningkatan gas dalam saluran yang amat berisiko kepada pasukan SAR.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian tanah jerlus pada 23 Ogos lalu yang menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang.

Mangsa dilaporkan terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di lokasi itu dengan operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kelapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas