ORANG ramai berpeluang menyambut Hari Kebangsaan dan menyemarakkan jiwa merdeka dengan cara lebih unik dan santai dengan berkampung di Glamping Jiwa Merdeka 2024 pada 30 dan 31 Ogos ini.
Menurut Ketua Pengurusan Aset Kumpulan Putrajaya Leisures and Services Group Sdn Bhd (PULSE Group), Wan Mohd Azhar Wan Mohd Shuky, acara yang berlangsung di Stadium Mini, Taman Pancarona, Presint 18, Putrajaya itu mampu menempatkan lebih daripada 360 khemah dan 80 karavan.
“Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, konsepnya adalah berkhemah dengan keluarga pada malam ambang kemerdekaan iaitu pada 30 Ogos sebelum menghadiri acara perbarisan di Dataran Putrajaya pada pagi 31 Ogos yang boleh diakses dengan berjalan kaki kira-kira satu kilometer.
“Pengunjung perlu membawa khemah sendiri dan digalakkan bersaiz 3.5 meter x 3.5 meter. Akan ada ruang antara khemah, kita pastikan keselesaan dan tak nampak padat,” ujarnya.
Beliau berkata harga pakej yang ditawarkan bermula daripada RM20 hingga RM55.
“Kemudahan seperti parkir, tandas, surau dan jualan makanan turut disediakan untuk keselesaan pengunjung.
“Pelbagai acara diaturkan bermula dari pukul 4.30 petang antaranya pertandingan mewarna Jiwa Merdeka, persembahan patriotik Jiwa Merdeka, tayangan filem kenegaraan, pertandingan hiasan khemah Jalur Gemilang dan Kira Detik 31 Ogos.
“Selain dapat mengelakkan kesesakan untuk masuk ke Dataran Putrajaya pada pagi 31 Ogos itu, kita ada pengisian yang membuatkan pengunjung lebih bersedia bagi menyuntik semangat patriotik dan menghayati erti kemerdekaan sebelum sambutan,” ujarnya.
Buat mereka yang berminat, cara pendaftaran dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.merdeka360.my atau laman media sosial Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Penerangan Malaysia. – WILAYAHKU