Fokus

Martabat wanita melonjak lagi

- Diterbit 30 Ogos 2024 11:20 AM MYT

KEPIMPINAN wanita dalam pembangunan negara telah menjadi keperluan membentuk masa depan masyarakat di seluruh dunia dalam dekad ini. Ketika negara bergelut dengan cabaran kompleks seperti ketidaksamaan ekonomi, perubahan iklim dan keadilan sosial, penyertaan wanita dalam kepimpinan telah terbukti penting untuk memupuk pembangunan holistik dan mampan.

Era ini menandakan peralihan yang ketara berikutan kepimpinan berkualiti serta kemahiran mengurus melibatkan dua wanita besi yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)‚ Dr Zaliha Mustafa dan lantikan bersejarah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif yang juga wanita pertama menggalas tugasan tersebut.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Syarifah Yuliana Syed Ali Hanafiah berkata idea yang dipelopori Dr Zaliha selaku menteri bertanggungjawab untuk melantik Datuk Seri Maimunah ke jawatan penting sebagai wanita pertama menerajui Kuala Lumpur adalah pilihan tepat atas kredibiliti dan profesionalisme beliau.

“Maimunah telah membuktikan bahawa pengalaman, ilmu dan kemahiran yang dimiliki merupakan asbab beliau dipilih oleh menteri untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Dengan pencapaian sebagai seorang Perancang Bandar yang diiktiraf, pengalaman luas ketika memegang jawatan Datuk Bandar Pulau Pinang dan Datuk Bandar Seberang Perai sebelum ini, selanjutnya kejayaan Dr Maimunah mengembalikan kedudukan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan adalah sesuatu yang hebat.

“Selain itu, pengalaman 39 tahun dalam perancangan dan penjenamaan semula bandar mengukuhkan idea dan alasan yang utuh bagi menteri untuk melantiknya,” katanya.

Menurut Syarifah Yuliana, kepimpinan dua wanita dalam kedudukan strategi diterajui Zaliha, Datuk Maimunah telah mentransformasi pentadbiran dan tadbir urus Kuala Lumpur serta mendemonstrasikan kesatuan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi memperjuangkan kualiti kelangsungan hidup, pendidikan, kepimpinan serta kebajikan masyarakat yang lebih baik.

“Transformasi pentadbiran di bawah kepimpinan dua wanita tersebut di Wilayah Persekutuan ditunjangi oleh tanggungjawab mereka sebagai nakhoda hebat untuk sebuah bahtera dengan membentuk, memimpin dan menerajui pasukan demi mencapai visi dan misi yang sama.

“Ia membuktikan mereka juga adalah pengurus emosi yang efisien, dan merupakan ikon dan model idola untuk kakitangan bahawa sekali gus memberikan impak dalam perkhidmatan kepada warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Tiada tandingan

Reformasi dasar yang membawa kepada pelantikan wanita dalam memberikan peranan penting ini dizahirkan berikutan sikap percaya dan tekad untuk mengangkat martabat wanita dalam era kepimpinan dan politik negara.

“Pembaharuan ini merupakan advokasi Kerajaan MADANI kepada rakyat bahawa wanita perlu diraikan bersama-sama, seiring dan sejalan dalam mengemudi bahtera kepimpinan dan membina kerajaan yang gemilang.

“Ini juga diterjemahkan kepada peranan wanita dalam sejarah tanah air seperti Halimahton Abdul Majid boleh menerajui Kaum Ibu Rembau di sekitar tahun 1946; Zahara Mohamed Taib dan Fatimah Haji Yunos memimpin Wanita UMNO pada tahun 1952, Bibi Aishah Hamid Don (1955) dan Tan Sri Paduka Seri Hajah Aishah Hj Ghani memimpin pelbagai persatuan dan juga dilantik sebagai Menteri Kebajikan, serta Tan Sri Devaki Krishnan yang merupakan wanita pertama dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata sudah pasti wanita-wanita besi ini berdepan pelbagai cabaran langsung dalam mengemudi jentera yang sering mendapat sorotan daripada pelbagai pihak berikutan banyak isu yang melingkari di Wilayah Persekutuan, namun katanya dengan ilmu kepakaran, pengalaman yang luas dan kemahiran yang sentiasa diperbaiki, pastinya kedua-dua tokoh wanita itu dapat menangani isu modal insan itu sebaiknya.

“Dari segi pengurusan emosi pula, mereka telah membuktikan dan menyangkal bahawa kenyataan wanita itu lemah adalah palsu belaka dengan membuktikan pencapaian dan kejayaan sehingga tahap mereka sekarang. Kemahiran kecerdasan emosi (emotional intelligence) yang mereka miliki mencerminkan bahawa mereka juga layak berada di jawatan sekarang,” katanya.

Menurut Syarifah Yuliana, dengan perkembangan semasa termasuk tragedi mendapan tanah yang berlaku di ibu negara ketika ini menunjukkan keupayaan pemimpin wanita ini berupaya menggalas tanggungjawab dan berusaha memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan tuntas sekali gus menafikan wujudnya isu perbezaan gender dalam pentadbiran.

“Dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perancangan Kerajaan MADANI yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita yakin potensi bias gender itu semakin tidak dipraktikkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas