BERTEBARAN berita dalam media sosial apabila ada pihak yang mendakwa kononnya Kerajaan Perpaduan dengan Barisan National (BN) khususnya UMNO sedang bermasalah.
Malah ada yang menuduh kononnya gabungan beberapa parti dalam kerajaan ini akan menemui kegagalan disebabkan masing-masing ada kepentingan sendiri.
Ini diakui sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang memberi amaran supaya ahlinya tidak terbuai dengan fitnah dan tohmahan pihak lawan sehingga terbit rasa sangsi sesama sendiri.
Ketika menyampaikan ucapan dasar di hadapan lebih 2,000 perwakilan, Ahmad Zahid mahu setiap ahli dan peringkat kepimpinan termasuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengetepikan perbezaan dalam usaha memperkuat parti agar UMNO kembali dominan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ia juga secara tidak langsung membuktikan fitnah untuk melaga-lagakan BN dengan Kerajaan Perpaduan sememangnya wujud.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan dan kerjasama Kerajaan Perpaduan bersama parti gabungannya UMNO dan BN masih di tahap baik.
Anwar juga berkata pada masa ini, kerjasama dengan UMNO adalah sangat memuaskan dengan ruang perbincangan masih dibuka secara baik.
“Jadi untuk masa hadapan, kita masih buka ruang untuk berbincang secara baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Muktamar itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalannya, Dr Zulkifli Hasan serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin, Datuk Seri Ahmad Awang.
Baru-baru ini juga, media melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata tiada sebab untuk parti itu bergerak secara solo pada pilihan raya akan datang.
Ahli MKT UMNO itu berkata ia mengambil kira keserasian yang ditunjukkan parti Melayu itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, dengan keserasian itu, beliau berharap untuk melihat kerjasama antara BN dan PH dapat diteruskan sehingga ke PRU-16.
Nampaknya jelas di sini kenyataan-kenyataan yang telah diberikan ini membuktikan Kerajaan Perpaduan dengan BN dan UMNO yang sedang bermasalah itu hanya tuduhan tidak berasas sama sekali.
Rasanya pihak yang suka mencipta berita sensasi sekali gus menangguk di air keruh ini bolehlah berhenti membuat fitnah kerana ia hanya membuang masa sahaja. – WILAYAHKU