Berita

JAS, MPM pelihara kelestarian alam

ZULFADZLI (kanan) menerima plak penghargaan disaksikan Suhaili (tengah).
- Diterbit 28 Ogos 2024 4:40 PM MYT

BAGI meningkatkan kesedaran dan kesiapsagaan terhadap insiden tumpahan minyak di kawasan perairan Labuan, Megah Port Management (MPM) dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan menganjurkan program Kontingensi Tumpahan Minyak sempena Hari Ozon Sedunia.

Menurut Pengarah JAS Labuan Zulfadzli Zakaria, pelaksanaan program itu bertujuan menjaga kelestarian alam sekitar khususnya di perairan lautan daripada sebarang pencemaran bahan kimia.

Katanya, program itu turut membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk JAS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dan Jabatan Laut yang masing-masing berkongsi pelan kontingensi dalam menangani insiden tumpahan minyak.

“Kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan dan swasta amat penting bagi memastikan tindakan segera yang berkesan dapat diambil jika berlakunya insiden tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) diantara MPM dan JAS di program Kontingensi Tumpahan Minyak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi MoU yang dimenterai itu dapat mengukuhkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar di Labuan.

“Kita berharap dengan MoU ini mampu memberikan komitmen antara dua-dua pihak untuk peka dan sentiasa berusaha melindungi alam sekitar sama ada di lautan mahupun di kawasan perairan,” katanya.

Terdahulu, program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MPM Datuk Seri Patrick Tiong. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas