PEMAKAIAN kalung kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif merupakan simbolik dan tradisi penerimaan tugas baharunya itu.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kalung yang telah dipakaikan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan kalung yang telah diterima oleh DBKL pada tahun 1972 seberat 624 gram dan bertatahkan 13 butir belian.
“Kalung ini dipakai buat pertama kalinya oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur kedua,” katanya di Facebook.
DBKL berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Kalung Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15 semalam di Menara DBKL 1.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Zaliha semalam telah menyarungkan kalung tersebut kepada Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15.
Sementara itu, DBKL berkata Maimunah turut menerima keris Datuk Bandar oleh Zaliha yang merupakan simbolik penyerahan amanah yang bakal dijalankan oleh ketua pentadbir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Maimunah telah memulakan tugasnya sebagai Datuk Bandar ke-15 pada 15 Ogos lalu bagi menggantikan Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh yang merupakan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-14.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim. – WILAYAHKU