BELUM terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif yang dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15 berkuat kuasa 15 Ogos lalu menggantikan Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh.
Secara kebetulan‚ tarikh pelantikan Maimunah pada 15 hari bulan sama dengan kedudukan selaku datuk bandar ke-15. Beliau mencatat sejarah wanita pertama menduduki kerusi datuk bandar sepanjang 52 tahun usia bandar raya Kuala Lumpur.
Sejak Kuala Lumpur diisytihar bandar raya pada 1 Februari 1972‚ semua datuk bandar adalah lelaki. Allahyarham Tan Sri Lokman Yusof dilantik datuk bandar pertama. Sebelum itu‚ Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Pesuruhjaya Ibu Kota‚ Lokman selaku Pesuruhjaya. Justeru‚ memang wajar beliau dilantik datuk bandar pertama.
Kawan-kawan Kedai Kopi percaya warga kota teruja Maimunah menggalas tugas menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pelbagai cabaran menanti beliau menguruskan bandar raya terbesar di Malaysia yang juga ibu negara.
Pasti warga kota berharap Maimunah bukan sahaja meneruskan semua usaha baik yang dilaksanakan oleh datuk bandar sebelum ini‚ tetapi memastikan apa juga perancangan yang belum terlaksana dibereskan dan ditambah baik. Kesejahteraan ibu kota dan warganya perlu diutamakan.
Banyak cabaran perlu diharungi dan diberi perhatian oleh Maimunah. Daripada masalah perumahan‚ kesesakan lalu lintas‚ banjir‚ gelandangan‚ peniaga dan penjaja‚ sampah‚ kemudahan awam serta pendatang asing‚ semua memerlukan perhatian serius.
Isu perumahan‚ kesesakan lalu lintas misalnya adalah antara isu utama yang belum dapat diselesaikan secara tertuntas. Kesesakan lalu lintas menghantui warga kota saban hari.