Berita

Belum ada ketetapan larang guna Telegram

KERAJAAN belum buat ketetapan larang penjawat awam guna Telegram. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Ogos 2024 12:25 PM MYT

KERAJAAN belum mengambil sebarang ketetapan untuk melarang penjawat awam daripada menggunakan aplikasi Telegram seperti mana dilaksanakan di Belanda, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata isu berkaitan keselamatan membabitkan penjawat awam diuruskan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

“Kita belum mengeluarkan sebarang arahan, kebiasaannya aspek keselamatan ini diuruskan oleh CGSO, namun pada waktu ini kita belum menerima apa-apa arahan serupa,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Majlis Perbandaran Amsterdam melarang pekerja kerajaan menggunakan aplikasi Telegram di telefon bimbit mereka kerana bimbang risiko diintip.

Lapor radio BNR pada Isnin lalu, memetik Alexander Scholtes, Ahli Majlis Perbandaran yang bertanggungjawab terhadap dasar teknologi maklumat di bandar raya itu mengesahkan kepada stesen radio itu bahawa larangan berkenaan telah dilaksanakan pada penghujung April, walaupun ia tidak didedahkan kepada umum sehingga kini.

Beliau berkata aktiviti jenayah dalam aplikasi dan risiko pengintipan sebagai alasan utama keputusan berkenaan, menurut laporan itu.

“Pegawai itu juga menyifatkan Telegram sebagai tempat perlindungan selamat untuk penggodam, penjenayah siber, dan pengedar dadah,” lapor BNR.

Walaupun Telegram pada asalnya dicipta di Rusia, ibu pejabatnya kini terletak di Dubai dengan syarikat itu secara rasmi didaftarkan di Kepulauan Virgin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas