Berita

KKM kukuh aktiviti survelan, advokasi berkaitan mpox

- Diterbit 19 Ogos 2024 12:38 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti survelan dan advokasi berkaitan mpox.

Ia susualan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emnergency of International Concern – PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu.

Sebelum ini, mpox telah diisytiharkan sebagai PHEIC buat pertama kali pada 23 Julai 2022 dan berakhir pada 11 Mei 2023.

KKM dalam satu kenyataan berkata antara langkah pengukuhan yang dilaksanakan ialah meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Menurutnya, semua pengembara yang tiba dari negara-negara yang melaporkan mpox perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

“Selain itu, KKM turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah aktivti berisiko dan mempunyai gejala seperti ruam atau lepuh pada kulit perlu segera menjalani pemeriksaan serta mengelakkan kontak dengan individu lain.

“Langkah lain seperti, memastikan semua pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta untuk menotifikasi kes disyaki dan kes yang disahkan mpox dengan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, KKM memastikan makmal bagi pengujian dan diagnostik bersedia di mana buat masa ini terdapat 10 buah makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuk dua makmal swasta.

“KKM juga mempertingkatkan aktivtii kesedaran mpox dan edaran bahan pendidikan kepada kumpulan berisiko dengan kerjasama badan bukan kerajaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti seperti spa dan sauna.

“Premis-premis yang menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di samping memastikan tiada pekerja atau pelanggan berkaitan mengalami gejala atau menunjukkan tanda mpox,” ujarnya.

Dalam pada itu, KKM menegaskan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk hospital dan klinik swasta dalam pemantauan, pengesanan dan penjagaan klinikal kes mpox secara bersepadu.

“KKM akan terus memantau situasi mpox di dalam serta luar negara dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas