Berita

Malaysia sokong Qatar beri keutamaan tamatkan krisis kemanusiaan di Gaza

- Diterbit 19 Ogos 2024 12:31 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyokong tindakan Qatar untuk memberi keutamaan kepada usaha menamatkan krisis kemanusiaan yang mendesak di Gaza.

Beliau berkata demikian susulan menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani yang memaklumkan perkembangan semasa di rantau Timur Tengah.

Katanya, Sheikh Mohammed memaklumkan terdapat kesempatan yang baik untuk menjelmakan hasil positif dalam rundingan damai terkait konflik Palestin-Israel.

“Ruang itu perlu dimanfaatkan sesegera mungkin.

“Saya zahirkan penghargaan rakyat Malaysia atas peranan besar Qatar,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Anwar berkata beliau turut bersetuju dengan permintaan Sheikh Mohammed yang mahu Malaysia membantu dalam usaha mewujudkan penyelesaian tuntas terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Insya-Allah sebagaimana permintaan Sheikh Mohammed, saya akan berhubung dengan Presiden Iran dan wakil Hamas sesegera mungkin bagi mempermudahkan rundingan damai.

“Sekali gus menguatkuasakan gencatan senjata serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas