ORANG ramai dijemput hadir untuk meraikan 10 finalis berkarisma daripada 10 kawasan Perumahan Awam (PA) di Lembah Klang yang akan bersaing untuk merebut gelaran juara dalam Pertandingan Nyanyian K2K Idol pada 17 Ogos ini.
Majlis pertandingan tersebut akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail di Pusat Komersial Komuniti Bandar Tun Razak.
Menurut Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed, matlamat penganjuran pertandingan itu adalah untuk mengeratkan silaturahim dan semangat kekitaan melalui seni dan muzik.
“Perpaduan komuniti menjadi asas penting dalam mencapai kesejahteraan dan kelestarian PA. Program ini bukan sahaja bertujuan menyatukan komuniti perumahan awam tetapi juga menyediakan platform untuk mengasah bakat, memperkukuh jati diri dan memupuk semangat kebersamaan.
“Saya teruja melihat hasil daripada program ini apabila ahli-ahli PA datang bersama, saling berkenalan dan melibatkan diri secara aktif sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan semangat kekitaan melalui Pertandingan Nyanyian K2K Idol,” ujar beliau.
Pertandingan ini dimulakan pada peringkat perumahan awam di mana 100 daripada 817 peserta dipilih melalui sesi uji bakat dan telah diberi latihan vokal serta pementoran daripada artis terkemuka seperti Andy Flop Poppy dan Datuk Ito (Blues Gang).
Acara kemuncak K2K Idol pada 17 Ogos ini akan menampilkan 10 finalis terbaik yang dikenal pasti untuk merebut gelaran juara K2K Idol dan seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi.