KERAJAAN terus kekal komited serta memberi perhatian bagi menangani pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan di Labuan demi menjamin kesejahteraan rakyat dan meningkatkan ekonomi pulau tersebut daripada pelbagai aspek.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyatakan pegangan tersebut menerusi sesi perjumpaan bersama 150 wakil agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan warga Dewan-Dewan Perniagaan di Labuan, baru-baru ini.
Jelasnya pada sesi tersebut, pelbagai cadangan dan pandangan telah disuarakan oleh pelbagai pihak untuk diketengahkan dalam inisiatif Belanjawan 2025 akan datang.
“Dalam sesi perjumpaan itu, pelbagai pihak telah mengetengahkan idea dan cadangan positif mengenai cara untuk memacu ekonomi tempatan ke hadapan dan saya menerima maklum balas yang membina bagi meningkatkan ekonomi Labuan.
“Pandangan-pandangan ini tidak akan diabaikan begitu sahaja dan ia akan dimasukkan dalam cadangan Bajet 2025 nanti,” kata beliau.
Zaliha berkata Belanjawan 2025 bagi Labuan pihaknya memfokuskan inisiatif pembangunan ekonomi, penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan cadangan lain termasuklah pemindahan terminal feri ke tapak yang baharu.
Dalam perkembangan lain, Zaliha turut menyatakan jaminan bahawa isu gangguan bekalan elektrik yang dihadapi oleh penduduk di pulau ini akan diatasi menerusi kerjasama dengan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, dengan jalinan kerjasama strategik antara TNB, SESB dan Perbadanan Labuan itu mampu merealisasikan pulau bebas cukai sebagai pulau SMART (Sustainable, Modern, Accesibility, Remarkable dan Transparency).
“Saya dimaklumkan bahawa pengagihan tahunan Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) adalah pada kadar membaik dan load shedding juga semakin memulih berbanding tahun lalu. Dengan indikator ini, gangguan bekalan elektrik di Labuan adalah dalam keadaan semakin terkawal.
“Tetapi masih memerlukan perhatian. Ini juga dibuktikan melalui penurunan kes aduan rakyat terhadap gangguan bekalan elektrik jika dibandingkan dengan tahun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, bagi membantu meringankan beban penduduk di Labuan, kerajaan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah melancarkan inisiatif MYGrocer@Wilayah.
“inisiatif yang juga di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) itu telah mula beroperasi di 26 kampung sekitar Labuan sejak Jun lalu.
“Semasa lawatan kerja pertama saya ke Labuan pada Januari lalu, saya telah mengambil peluang untuk mendengar pandangan dan keluhan rakyat Labuan melalui Sesi Temu Rapat Dr Zaliha dan inti pati yang dibangkitkan pada sesi tersebut adalah terkait dengan isu kos sara hidup yang tinggi di Labuan.
“Sebagai penyelesaian jangka pendek pada ketika itu, saya telah meminta JWP dan PL untuk mengambil tindakan segera bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan,” katanya. – WILAYAHKU