Berita

Tahniah Aaron-Wooi Yik, pertahan pingat gangsa di Olimpik Paris

AARON-WOOI YIK menamatkan penantian pingat kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan memenangi pingat gangsa.
- Diterbit 4 Ogos 2024 10:44 PM MYT

PASANGAN beregu badminton lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo apabila merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 sekali gus menghadiahkan pingat pertama negara pada edisi kali ini.

Menewaskan pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup dalam set penentuan, wakil negara itu berjaya mengulangi pencapaian di Olimpik Tokyo 2020.

Aaron-Wooi Yik tewas pada set pertama 16-21, kemudiannya mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam saingan set kedua.

Ketinggalan 16-20 menyaksikan peluang bagai telur di hujung tanduk namun mereka bangkit dan mara mengejar kedudukan mata 20-20.

Pasangan di ranking ketiga dunia itu membuktikan mereka mampu mengubah kedudukan apabila menang 22-20 dan mengheret perlawanan ke rubber set.

Set ketiga berlangsung dengan sengit khususnya di penghujung permainan apabila pasangan negara membenarkan gandingan Denmark itu mengejar sehingga 19-19 namun Aaron-Wooi Yik kekal tenang untuk meraih pingat gangsa dengan keputusan 21-19.

Terdahulu, kedua-dua gandingan itu gagal melayakkan diri ke final selepas kecundang di tangan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir di mana Aaron-Wooi Yik tumbang di tangan gandingan nombor satu dunia, Liang Weikeng-Wang Chang 19-21, 21-15, 17-21.

Astrup-Rasmussen pula tewas di tangan juara bertahan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin 21-18, 17-21, 10-21.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas