Berita

Malaysia ke arah berpendapatan tinggi

Status negara berpendapatan tinggi boleh dicapai sekiranya ekonomi negara tumbuh empat hingga lima peratus setiap tahun
- Diterbit 2 Ogos 2024 9:30 AM MYT

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan Malaysia berpotensi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027.

Menurut Rafizi, ia boleh dicapai sekiranya ekonomi negara tumbuh empat hingga lima peratus setiap tahun dan ringgit mengukuh sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Tambah beliau, sekiranya sasaran itu dapat dicapai Malaysia dilihat berpotensi menjadi kuasa ekonomi Asia atau seterusnya bangkit kembali bergelar Harimau Asia.

“Dari segi kompleksiti, faktor itu juga bergantung kepada berapa banyak keluaran eksport dengan kemampuan negara untuk menjadi hub kewangan antarabangsa, selain prestasi semasa Bursa Malaysia.

“Ketersediaan Malaysia dalam sektor-sektor ekonomi masa akan datang termasuklah dari segi kemampanan sektor tenaga, pertumbuhan pusat data dan pengeluaran cip elektronik melangkaui penggunaan sedia ada.

“Termasuk juga potensi skala industri ekonomi melangkaui aktiviti sedia ada, disokong pusat data dunia yang akan dikendalikan oleh AI (kecerdasan buatan).

“Masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada Malaysia sekarang ini untuk melihat sama ada kita boleh guna kelebihan ini untuk berada di hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi (BE) 2023.

Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Rafizi menegaskan ukuran untuk digelar sebagai Harimau Asia bukan dilihat dari segi jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.

Sehubungan itu, beliau berkata tidak ada definisi khusus untuk digelar sebagai Harimau Asia kerana sasaran ekonomi yang kukuh perlu mengikut kepada piawaian antarabangsa.

Namun, jelas Rafizi Malaysia perlu menumpukan sektor bernilai tinggi sekiranya mahu mengembalikan semula status sebagai Harimau Asia dan antara sektor bernilai tinggi yang perlu diberi perhatian adalah penciptaan dan reka bentuk cip.

“Jika dilihat di dalam BE 2023, syarikat yang mereka bentuk cip di Malaysia boleh dikira dengan jari.

“Jadi bolehkah kita sebagai kerajaan memastikan dasar-dasar dan program untuk tempoh lima tahun akan datang memberi tumpuan kepada sektor-sektor sebegini.

“Jika KDNK kita pada empat hingga lima peratus setiap tahun dan mata wang mengukuh sekitar RM4.20 berbanding satu dolar AS untuk beberapa tahun akan datang, Malaysia akan jadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Ini adalah piawai mudah, soal Harimau Asia atau tidak, perlu mengikut piawaian tetapi pelabur melihat potensi masa depan, jadi Malaysia berpotensi untuk tumbuh dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata BE 2023 menunjukkan terdapat 1,091,867 pertubuhan yang beroperasi pada 2022, dengan kadar pertumbuhan tahunan 2.5 peratus berbanding banci terdahulu yang dijalankan pada 2016 bagi tahun rujukan 2015 dengan sebanyak 920,630 pertubuhan.

Tambah Mohd Uzir, sejumlah 951,862 pertubuhan atau 87.2 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan, diikuti dengan sektor pembinaan (71,062 pertubuhan atau 6.5 peratus) dan sektor pembuatan (54,505 pertubuhan atau 5.0 peratus).

Jelas beliau, sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian kedua-duanya menyumbang selebihnya, masing-masing dengan 12,998 dan 1,440 pertubuhan.

“Nilai output kasar bagi keseluruhan sektor ekonomi berjumlah RM3.8518 trilion pada 2022, meningkat 6.4 peratus setiap tahun.

“Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan yang kukuh bagi sektor pembuatan dengan 7.5 peratus, mencatatkan RM1.8937 trilion berbanding RM1.142 trilion pada tahun 2015 dan didorong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

“Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan, yang meningkat 5.7 peratus kepada RM1.4266 trilion dan sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat 6.5 peratus kepada RM204.1 bilion,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas