JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan membuka siasatan terhadap kes kanak-kanak berusia 13 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor seperti yang tular menerusi media sosial.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, bagaimanapun berkata tindakan itu akan diambil selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menjalankan siasatan.
“PDRM sudah mengambil tindakan dalam kes itu dan kami juga akan menjalankan siasatan sendiri sebaik sahaja pihak polis selesai menjalankan siasatan mereka. Kami telah mengeluarkan notis panggilan temu siasat terhadap ibu bapa terbabit bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media Op PeWA di Putrajaya hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk mengawasi anak mereka agar tidak memandu di jalan raya sekiranya tidak mempunyai lesen.
“Tindakan membiarkan mereka memandu kenderaan boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan sahaja kepada anak-anak itu sendiri, malah kepada pengguna jalan raya lain.
“Kompaun akan dikenakan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut kerana membenarkan anak mereka memandu kenderaan tanpa lesen, selain diberikan advokasi.
“Saya nasihatkan kepada semua ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak menggunakan kenderaan, tidak memandu, menunggang kenderaan di atas jalan raya tanpa mempunyai lesen yang sah.
“Ini adalah peranan dan tanggungjawab ibu bapa sebab kita tidak tahu anak-anak kadang-kadang ada kemahiran membawa kenderaan tapi sebenarnya tidak layak dan tidak boleh memandu,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan polis sudah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata lelaki berusia 53 tahun itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk memberi keterangan pada 11.30 malam semalam.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua adik lelaki berusia enam dan empat tahun bersiar-siar di kawasan perumahan kira-kira 8 malam, Ahad lalu.
Menerusi rakaman video berdurasi satu minit 49 saat itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – WILAYAHKU